Mungkinkah kita akan menyaksikan Piala Dunia tanpa pasukan Argentina?
Bayangkan Piala Dunia tanpa kelibat Lionel Messi, Angel Di Maria, Gonzalo Higuain, Sergi Aguero dan…Sergio Romero?
Dan ketiadaan mereka di Piala Dunia bukanlah disebabkan mereka gagal di pusingan kelayakan, tetapi disebabkan penggantungan.
FIFA beri amaran
Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah memberi amaran kepada Persatuan Bolasepak Argentina (AFA) pada hari Rabu bahawa mereka berdepan kemungkinan untuk digantung jika mereka tidak menerima wakil dari badan pentadbir bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL) sebagai penilai bagi menapis calon pemilihan jawatan presiden AFA.
Amaran tersebut dikeluarkan tiga minggu sebelum perlawanan penting Argentina di pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 di mana mereka akan menentang Chile dan Bolivia.
Pihak AFA telah mengundi untuk mengubah artikel dalam salah satu statut terbaru mereka dan menamakan Kolej Peguam Buenos Aires dan bukan jawatankuasa etika CONMEBOL sebagai badan penapis bagi bakal calon pemilihan yang akan diadakan pada 29 Mac nanti.
Argentina FA boleh digantung
Badan pentadbir bolasepak dunia FIFA dan CONMEBOL dalam satu kenyataan bersama berkata bahawa semua persekutuan bolasepak di rantau itu memberi pengiktirafan kepada hak badan pentadbir bolasepak Amerika Selatan untuk melakukan tapisan.
“Kegagalan untuk mengikut arahan…boleh menyebabkan mereka berdepan sekatan, salah satu pilihan adalah penggantungan pihak AFA,” kata kenyataan tersebut.
Argentina akan berdepan Chile di laman sendiri pada 23 Mac dan akan berangkat ke Bolivia lima hari kemudian.
Kesimpulan
Pasukan yang dikenali sebagai La Albiceleste itu kini berada di tangga kelima dari sepuluh pasukan di peringkat kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan itu dan melihat untuk berada di kedudukan empat teratas bagi melayakkan diri.
Pasukan di tangga kelima perlu melalui perlawanan penentuan playoff bagi merebut tempat ke Piala Dunia 2018 dan kini hanya tinggal baki enam perlawanan lagi sebelum empat pasukan yang layak akan ditentukan.
Hasil kerja keras Lionel Messi dan rakan-rakannya akan menjadi sia-sia jika Argentina FA meneruskan hasrat mereka dan membuatkan mereka digantung. Messi tidak kembali dari persaraan untuk Argentina FA digantung.
Other posts by Khairul Nizam