Semenjak dua menjak ini, semakin ramai bintang bolasepak dunia yang berminat untuk bermain di Asia. Namun, setelah sekian lama, seorang pemain bolasepak antarabangsa akan bermain di Asia, tetapi bukan di Liga Super China.
Bekas pemain Arsenal, Lukas Podolski nampaknya mahu menukar selera dan makan sushi pula di penghujung kariernya.
Podolski ke Jepun
Pemenang Piala Dunia 2014 di Brazil, Podolski, akan menjadi bintang terbaru berpindah ke Asia dan menyertai pasukan Liga Jepun (J League), Vissel Kobe pada musim hadapan.
Menurut beIn Sports, pemain berusia 31 tahun itu akan menyertai Kobe dengan bayaran perpindahan berjumlah £2 juta. Bayaran yang rendah jika dibandingkan dengan nilai perpindahan yang sering melibatkan kelab Liga Super China.
Rekod Podolski
Podolski yang beraksi untuk Galatasaray hanya membuat sembilan penampilan dan menjaringkan tiga gol untuk kelab Turki itu musim ini yang kini berada di tangga ketiga Liga Super Turki di belakang Besiktas dan Istanbul Basaksehir
Podolski merupakan pemenang Piala Dunia 2014, Bundesliga bersama Bayern Munich, Piala FA 2014 bersama Arsenal dan membuat 129 penampilan bersama pasukan kebangsaan Jerman.
Vissel pernah dapatkan bintang Real Madrid
Vissel tidak pernah berada di kedudukan lebih tinggi daripada kedudukan ketujuh di J League sejak bermain di liga utama pada tahun 1997.
Namun, Vissel tidak asing dengan perpindahan melibatkan pemain bertaraf dunia sebenarnya.
Kelab Kobe itu sebelum ini pernah mendapatkan Michael Laudrup dari Real Madrid pada tahun 1996. Pemain legenda Denmark itu menjaringkan enam gol dari 15 penampilan buat Vissel.
Stadium Misaki Park tempat Vissel Kobe beraksi mempunyai kapasiti yang mampu memuatkan 30,132 penonton dan pernah menjadi gelanggang untuk tiga perlawanan di Piala Dunia 2002 dan akan menjadi gelanggang untuk Piala Dunia Ragbi dalam dua tahun lagi.
Kesimpulan
Penyertaan bintang dunia ke Asia merupakan satu tarikan buat penyokong. Tidak ramai penyokong menyangka pemain yang mereka sering saksikan di kaca tv akan menyertai pasukan mereka. Pastinya mereka teruja dan lebih ramai akan turun ke stadium. Lihat sahaja di Liga Super China atau ketika Johor Darul Ta’azim mendapatkan Pablo Aimar dan Daniel Guiza dulu.
Namun, kadangkala tidak semua pemain bertaraf dunia itu mampu menyesuaikan diri di Asia dan akan berdepan kesukaran. Semoga Kobe membuat tindakan tepat dengan mendapatkan Podolski.
Other posts by Khairul Nizam