Translated by Khairul Nizam
Jika ada pengajaran yang boleh kita ambil dari 2016, ianya adalah keputusan akhir tidak semestinya bergantung kepada populariti, jangkaan dan juga kekecohan di laman sosial. Tiada siapa yang menyangka pasukan seperti Leicester mampu menjuarai Liga Perdana Inggeris. Penduduk di United Kingdom pastinya tidak pernah terfikir mengenai Brexit akan benar-benar berlaku. Di Amerika Syarikat pula, media begitu menggembar-gemburkan mengenai betapa Hillary Clinton akan mencipta sejarah menjadi presiden wanita pertama Amerika Syarikat dan tiba-tiba seorang lelaki yang terkenal dengan ayat “You’re Fired” di rancangan The Apprentice memotong laluannya.
Semua perkara itu mungkin berlaku dalam tempoh sebulan sebelum masa depan bolasepak Malaysia ditentukan – pemilihan presiden FAM pada 25 Mac ini. Untuk penyokong bolasepak tempatan, melihat pada dua calon yang bertanding, mereka menjangkakan kemenangan mudah. Tetapi mereka perlu bersedia dengan segala kemungkinan.
TUGAS PALING SUKAR DALAM BOLASEPAK MALAYSIA
Empat individu telah dicalonkan untuk jawatan Presiden FAM – Pemilik JDT, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ), Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, Tan Sri Aseh Che Mat dan bekas presiden Kelantan FA, Tan Sri Annuar Musa.
Namun, akhirnya hanya dua orang yang memilih untuk menerima pencalonan. Annuar Musa merupakan orang yang pertama menyahut cabaran, walaupun dipalit pelbagai kontroversi mengenai siasatan berkenaan penyalahgunaan dana MARA. Di saat akhir, TMJ melompat masuk ke gelanggang selepas perwakilan FAM menghadap Sultan Johor, yang akhirnya menitahkan TMJ untuk menyelamatkan bolasepak Malaysia.
Bahkan, TMJ sendiri ketika majlis dialog bersama peminat bolasepak tempatan di Hotel Grand Hyatt semalam berkata: “Secara jujur, saya tidak mahu tanggungjawab ini. Tetapi saya buat kerana rakyat mahu saya melakukannya. Pada masa yang sama, ayahanda saya- yang juga Sultan saya – menitahkan saya untuk melakukannya. Dan saya akan menghormati titah baginda,” kata TMJ.
BETULKAH TMJ PILIHAN UTAMA?
Melihat kepada perdebatan di media sosial dalam tempoh dua minggu ini, anda pasti merasakan lebih baik Annuar Musa menarik diri sahaja. TMJ adalah calon kegemaran peminat dan ianya adalah kerana beberapa sebab. Pertama, baginda berjayaa mengubah nasib bolasepak Johor dalam tempoh empat tahun ini, dan ianya dapat dilihat oleh semua penyokong. Dari memenangi Liga Super Malaysia untuk tiga musim berturut hingga menjadi pasukan Asia Tenggara pertama memenangi Piala AFC – dan semestinya TMJ memainkan peranan penting dalam setiap kejayaan itu.
Tetapi, cara baginda berdepan dengar orang ramai dan sukan ini telah menarik perhatian orang ramai. Bagi peminat bolasepak Malaysia yang sudah sekian lama menderita, tindakan yang terlampau terancang dan berhati-hati sudah ketinggalan zaman – anda perlukan pemimpin yang kuat untuk mengubah industri yang sekian lama bergelumang dalam amalan kronisme dan korupsi. Sesi dialog terbuka baginda telah menguba cara rakyat melihat golongan Diraja. Sebelum ini, ianya dilihat begitu elitis dan eksklusif. Kini ianya lebih dekat dan terbuka.
Tidak dinafikan bahawa TMJ merupakan figura yang begitu didambakan oleh penyokong bolasepak di seluruh negara, namun aura itu hanya memainkan peranan kecil dalam konteks pemilihan presiden. Berbeza dengan pilihanraya umum negara, undian hanya boleh dilakukan oleh perwakilan dalam FAM – semua yang melakukan tugas mengikut trajektori yang berbeza dengan peminat biasa dan mempunyai sebab berbeza antara satu sama lain. Dalam bahasa mudahnya, walaupun bolasepak disebut sebagai sukan rakyat, namun rakyat atau penyokong tidak ada suara langsung dalam menentukan siapa bakal presiden persatuan sukan No. 1 di Malaysia ini. Tidak guna jika TMJ mendapat sokongan 30 juta rakyat Malaysia, kerana jika perwakilan memilih untuk mengundi Annuar Musa, maka dialah yang bakal menjadi Presiden FAM.
KENAPA ANNUAR MUSA BOLEH MENCIPTA KEJUTAN
Mungkin agak sukar untuk kita bercakap mengenai Annuar Musa dengan nada positif selepas kontroversi yang berlaku semenjak dua menjak ini, tetapi melihat pada rekod lampaunya, kejayaan beliau boleh menyamai apa yang dilakukan TMJ. Beliau berjaya menaikkan nama Kelantan FA pada tahun 2007. Rakyat Kelantan pastinya ingat kejayaan pasukan Red Warriors itu memenangi gelaran treble pada tahun 2012, dan Annuar Musa adalah pemimpin bolasepak pertama yang menekankan mengenai kepenting penjenamaan dan tajaan. Walaupun beliau kehilangan sokongan semenjak dua menjak ini, namun tidak dapat dinafikan bahawa beliau tetap mempunyai penyokong kuatnya sendiri.
Namun, walaupun kita menilai beliau berdasarkan apa yang berlaku sekarang, masih ada banyak sebab untuk perwakilan berkemungkinan akan memilih Annuar Musa. Cara TMJ yang begitu radikal mungkin akan dilihat sebagai ancaman kepada semua yang telah menikmati kelebihan sepanjang pengurusan teruk di dalam FAM. TMJ begitu aktif dan sering begitu lantang menegur individu-individu ini saban tahun, mendakwa mereka mengenai rasuah, kronism dan salah tadbir.
Kita bercakap mengenai ahli politik yang sudah sekian lama duduk di zon selesa, berkerja mengikut cara mereka selama ini. Jika perkara pertama TMJ lakukan ketika mengambil alih bolasepak Johor adalah untuk menendang keluar barisan pimpinan yang lama, pastinya baginda akan melakukan perkara yang sama apabila baginda mentadbir FAM. Kehadiran baginda telah mengubah permainan ini. Dan kita semua tahu bahawa orang-orang lama dalam FAM mempunyai alahan terhadap perubahan kan?
Pada masa yang sama, Annuar Musa adalah seorang ahli politik yang memahami permainan ini dan berkemampuan untuk bertolak ansur apabila diperlukan. Untuk sebilangan perwakilan, beliau merupakan calon yang tepat untuk mereka terus berada di zon selesa mereka. Atau sekurang-kurangnya mengelak dari menjadi subjek kepada perubahan radikal dan menjadi kambing hitam kepada semua elemen negatif dalam bolasepak tempatan.
BUKU BERTEMU RUAS
Kedua-dua calon telah mula berkempen, tetapi dengan cara berbeza. TMJ telah menganjurkan sesi dialog terbuka bersama penyokong pada hari Rabu lalu, sementara Tan Sri Annuar Musa menggunakan cara biasanya dengan membuat kenyataan di laman Facebooknya untuk menerangkan mengenai perubahan yang ingin dilakukannya, jika beliau memenangi pemilihan. Melihat sepintas lalu manifesto yang dibentangkan Annuar Musa, anda akan dapat melihat bahawa beliau melihatnya dari sudut yang menyeluruh. Namun, jika kita melihat dengan lebih dekat, sesetengah manifesto itu adalah sekadar di permukaan kecuali anggota parlimen Ketereh itu menerangkan mengenai bagaimana polisi itu akan dilaksanakan.
Pastinya menarik jika kedua-dua calon dapat menerbitkan satu dokumen lengkap yang membentangkan segala aspek mengenai perancangan mereka untuk bolasepak Malaysia. Itu sahaja cara untuk kita semua lebih memahami dan membuat keputusan untuk mengundi. Ianya juga satu-satunya cara untuk kita mengingatkan calon yang menang mengenai janji mereka apabila mereka memegang kuasa. Idealism telah lama menghancurkan bolasepak Malaysia untuk berdekad lamanya – kita perlu cermat dan membuat penilaian objektif ketika ini.
TMJ boleh diibaratkan seperti buku – seorang pemimpin yang telah membantu JDT mengharungi segala cabaran yang dihadapi dalam misi mereka untuk menjadi pasukan paling hebat di Malaysia dalam tempoh empat tahun ini. Pada masa yang sama, Annuar Musa ibarat ruas di mana beliau mampu teguh berdiri dan terus mendapat sokongan dari penyokong Kelantan, walaupun pelbagai tuduhan dilemparkan ke arahnya.
Dalam dunia yang kelihatan begitu mudah dijangka ini, pastinya kita menyangka pendapat yang popular itulah yang akan berkuasa. Namun, ianya tidak semudah itu kerana pendapat di media sosial dan pemilihan presiden FAM adalah dua perkara berbeza kerana jawatan tersebut akan ditentukan oleh individu yang mempunyai kepentingan yang perlu dilindungi, oleh itu janganlah kita terkejut jika pada 25 Mac ini kerusi presiden FAM kekal di Pantai Timur dan di bawah pimpinan Annuar Musa.
Other posts by Khairul Nizam