Football

Berita buruk buat peminat Selangor, Andik sedia pulang ke Persebaya

Berita buruk untuk peminat Selangor, berita baik untuk peminat Persebaya.

Pemain kegemaran kedua-dua pasukan ini menyatakan bahawa dia bersedia untuk kembali menyertai Persebaya Surabaya.

Namun, Andik hanya akan pulang ke Persebaya apabila kontraknya bersama Selangor tamat pada Oktober depan.

Apa kata Andik?

Memetik laporan Football Tribe.com, Andik berkata: “Saya bersedia untuk kembali (ke Persebaya) selepas bermain di Selangor. Kontrak saya bersama Selangor akan tamat pada bulan Oktober.

“Saya menjalin hubungan rapat dengan Persebaya. Saya sering bercakap dengan presiden kelab. Saya sentiasa mahu pulang, tetapi saya perlu menghormati kontrak saya bersama Selangor.

“Jika kelab mampu naik ke Liga 1, ramai pemain akan mahu menyertai mereka (Persebaya) bukan saya sahaja.”

Adakah ini satu kerugian buat Selangor?

Ya. Andik merupakan antara pemain penting buat Selangor. Tindakan mereka untuk tidak mendaftar Andik tanpa memberitahunya sedikit sebanyak telah merosakkan hubungan mereka.

Walaupun bermula dengan perlahan musim lalu, Andik akhirnya bangkit semula dan akhirnya dilantik sebagai ketua pasukan serta berjaya memimpin Selangor hingga mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2016.

Andik juga antara tonggak penting yang berjaya menyempurnakan misi 33 Piala Malaysia pasukan Selangor pada tahun 2015. Larian pantasnya berjaya mengelirukan ramai pemain lawan.

Namun, kecederaan yang menimpanya ketika beraksi bersama pasukan Indonesia dalam perlawanan akhir pertama menentang Thailand di Piala AFF Suzuki 2016 yang lalu menyebabkan Selangor tidak mendaftarkan namanya dan menggantikan tempatnya dengan pemain Timor Leste, Juliano Mineiro.

Bagus sangat ke Persebaya?

Andik pernah beraksi bersama Persebaya sebelum dia berpindah ke Selangor. Pasukan yang bermain di Stadium Gelora Bung Tomo di Surabaya ini pernah mengalami masalah kewangan sehingga menyebabkan mereka berhutang dengan pemain dan staff mereka.

Baru-baru ini, selepas Jawa Pos Group menjadi pemegang saham terbesar pasukan, mereka akhirnya dapat melunaskan gaji tertunggak kepada pemain dan staff selepas empat tahun tertangguh.

Pasukan di bawah kendalian Iwan Setiawan itu, pada musim ini bermain di Liga 2, iaitu liga divisyen 2 Indonesia.

Kesimpulan

Dalam kes Andik ini, Selangor memainkan peranan penting. Pihak FAS perlu bertindak dengan pantas untuk menyambung kontrak Andik jika mereka masih mahukannya menyarung jersi merah kuning. Selepas apa yang terjadi, jika mereka tidak bertindak pantas, pastinya musim hadapan Andik akan kembali menyarung jersi hijau Persebaya.

Other posts by