Football

Adakah Subahan pilihan tepat untuk Selangor?

Sudah sekian lama penyokong Selangor melancarkan kempen #RevampSelangorFootball di laman sosial kerana sudah muak dengan segala kerenah dan alasan dari Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

Semalam, diumumkan bahawa FAS kini mempunyai presiden baru selepas Menteri Besar Selangor, Datuk Azmin Ali meletakkan jawatannya sebagai presiden pada bulan Disember.

Kini FAS akan dipimpin oleh Datuk Subahan Kamal apabila dia diumumkan sebagai presiden baru selepas Mesyuarat Agung Eksektif yang berlangsung di Shah Alam.

Siapa Datuk Subahan Kamal?

Datuk Subahan Kamal bukanlah seorang yang asing dalam bolasepak. Dia telah bergiat dalam bolasepak sudah dua dekad lamanya.

Sebelum ini dia pernah menjadi pengurus untuk pasukan Bawah 21 tahun Selangor dan juga penolong pengurus bagi pasukan Selangor. Selain itu, dia juga menjawat jawatan Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila memenangi kerusi berkenaan di Kongres FAM ke-47.

Ahli Dewan Undangan Negeri Taman Templer ini juga merupakan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Kenapa ada yang tidak bersetuju dengan pemilihannya?

Ada kerisauan terhadap Subahan selepas dia dipilih kerana dia juga memegang jawatan di MHC. Ramai melihat dengan memegang jawatan yang banyak ini, ianya akan mengganggu fokusnya untuk memimpin FAS.

Namun, Subahan menepis dakwaan itu menerusi kenyataannya seperti dilaporkan Malay Mail Online: “ Biar saya jelaskan perkara ini. Hati saya untuk Selangor. Sebagai Presiden, tugas saya adalah untuk membentuk idea, visi dan misi sementara bertugas bersama pasukan saya dengan dekat untuk capai sasaran.

“Saya tidak akan bertanding jika saya rasa saya tidak mampu bertugas, dan saya sangat yakin dengan keupayaan saya untuk menjalankan tugas saya.

“Kami adalah pasukan negeri paling miskin di dalam negara kerana tidak mendapat sokongan dari kerajaan negeri. Sasaran utama saya adalah untuk tidak tersingkir dan bermula baru pada musim depan.”

Kesimpulannya

Masih terlalu awal untuk menyatakan samaada Subahan mampu mengubah nasib Selangor atau tidak. Jika ditanya kepada penyokong Selangor, pastinya mereka lebih mahukan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah untuk memegang jawatan Presiden FAS.

Apa yang penting adalah Subahan perlu mengenepikan elemen politik yang telah lama membelenggu FAS. Tiada dana dari kerajaan negeri bukan satu alasan untuk gagal. Selangor selaku pasukan paling berjaya di Malaysia sepatutnya sudah lama mampu mencari dana sendiri.

Sudah semestinya setiap langkah dan tindakan Datuk Subahan Kamal selepas ini akan diperhati oleh penyokong Selangor. Walaupun sasaran utamanya adalah untuk mengelakkan penyingkiran, namun dengan posisi Selangor yang kini berada di tangga keempat Liga Super, pastinya tidak salah untuk dia meletakkan sasaran yang lebih tinggi.

Adakah Datuk Subahan Kamal adalah perubahan yang diperlukan Selangor? Masa akan menentukan.

Other posts by