Football

Masalah bahasa ganggu tugas Luis Milla di Indonesia

Apabila jurulatih asing menjawat jawatan di negara asing, kebiasaannya masalah bahasa akan timbul ketika melatih pasukan. Ada jurulatih yang mampu menguasai bahasa asing dengan cepat, ada pula yang memerlukan penterjemah sehingga habis kontrak.

Isu bahasa ini mungkin nampak ringan, tetapi ia sangat penting untuk seorang pelatih menyampaikan arahan kepada pemain. Jika sewaktu sesi latihan atau perbincangan mungkin dia mampu menggunakan penterjemah, tetapi jika ketika perlawanan, pastinya akan menjadi sukar terutama ketika arahan perlu disampaikan dengan pantas.

Isu bahasa ini nampaknya menjadi satu perkara yang menjadi masalah buat pengendali baru pasukan Indonesia, Luis Milla.

Apa yang berlaku?

Bekas jurulatih pasukan Bawah 21 tahun Sepanyol itu dalam sesi pemilihan pertama pasukan dilihat memerlukan jurubahasa untuk membantunya dan ianya menimbulkan kesukaran.

Milla kebiasaannya dibantu oleh seorang petugas pasukan kebangsaan Indonesia, iaitu Bayu Eka Sari, ketika berdepan dengan media. Eka Sari banyak membantu Milla untuk menterjemah dari bahasa Sepanyol ke bahasa Indonesia.

Namun, ketika di padang latihan Milla lebih banyak dibantu oleh Eduardo Perez yang menterjemah arahannya dari bahasa Sepanyol ke bahasa Inggeris.

Apa masalahnya?

Masalah berlaku kerana rata-rata pemain Indonesia tidak fasih berbahasa Inggeris, maka agak sukar bagi mereka untuk memahami arahan dari Milla.

Menurut salah seorang pemain yang menjalani sesi pemilihan itu mereka mengalami kesukaran untuk memahami arahan Milla dan Perez kerana kekangan bahasa.

“Agak sukar untuk kami ketika Milla bercakap dalam bahasa Sepanyol, kami mengambil masa lama untuk kami memahaminya. Saya sendiri tidak faham,” kata pemain tersebut seperti dilaporkan Kompas.com

Apa penyelesaiannya?

Pembantu Milla, Bima Sakti dan beberapa pembantu jurulatih lain telah membantu menghasilkan satu kamus ringkas untuk membantu pemain memahami arahan Milla dalam bahasa Sepanyol.

“Kami melakukan ini kerana pemain perlu mengenal kosa kata dan istilah dalam bolasepak. Kamus kecil ini merupakan ringkasan semua arahan bolasepak dalam bahasa Sepanyol supaya semua pemain mampu memahami arahan jurulatih dalam permainan,” kata Bima Sakti seperti dilaporkan Kompas.com.

Isu bahasa ini sememangnya penting. Jurulatih dan pemain perlu mencari titik tengah supaya ianya akan memudahkan tugas mereka. Jurulatih seperti Pep Guardiola sendiri mempelajari bahasa Jerman ketika bertugas di Bayern Munich. Pemain juga boleh mengambil inisiatif sendiri untuk cuba belajar bahasa asing, setidak-tidaknya bahasa Inggeris.

Other posts by