Football

Tiga ketua jurulatih yang meletakkan jawatan di Liga Super 2017 setakat ini

Jurulatih datang dan pergi.

Ada jurulatih yang dipecat, ada yang meletakkan jawatan dan ada yang bersara. Pertukaran jurulatih adalah perkara biasa dalam setiap pasukan. Perkara ini berlaku bukan sekadar di Malaysia, tetapi di seluruh dunia.

Pada tahun lalu, seramai 11 orang jurulatih yang dipecat, meninggalkan pasukan, atau ‘direhatkan’ oleh pasukan di Malaysia. Lebih dari musim sebelumnya apabila hanya 10 jurulatih yang berbuat demikian.

Bagi Liga Super 2017, setakat ini sudah tiga orang ketua jurulatih yang meninggalkan pasukan mereka walaupu separuh masa pertama musim masih belum berakhir. Ada yang dipecat dan ada yang meletakkan jawatan. Namun, tiga jurulatih yang meletakkan jawatan/dipecat pada awal musim ini. Anda akan tahu apa persamaan mereka di penghujung artikel ini. Mari kita lihat tiga mangsa perubahan jurulatih di Liga Super 2017.

Mario Gomez

Photo Credit: the-afc.com

Ini antara yang paling mengejutkan. Perletakan jawatan Mario Gomez di awal musim menimbulkan kekecohan terutamanya di kalangan peminat pasukan bolasepak Johor Darul Ta’azim (JDT).

Pengurus yang berasal dari Mar del Plata, Argentina ini merupakan antara jurulatih paling berjaya di Malaysia apabila mampu membawa JDT menjadi pasukan Asia Tenggara pertama memenangi Piala AFC pada tahun 2015.

Di bawah kendalian Mario Gomez, JDT berjaya menjulang trofi Liga Super sebanyak dua kali serta Piala FA pada tahun lalu.

Namun, baru-baru ini penaung JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atau lebih dikenali sebagai TMJ, mengeluarkan satu kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers bahawa Mario Gomez bakal menjadi jurulatih pasukan kebangsaan jika beliau menjadi Presiden FAM.

Azmi Mohamed

Apabila Irfan Bakti meninggalkan Felda United bagi menyertai Terengganu, tidak ramai yang menyangka bahawa Azmi akan menggantikan tempatnya. Dengan Felda yang akan beraksi di Piala AFC, ramai yang menyatakan bahawa Azmi bukan calon sesuai untuk menjadi ketua jurulatih Felda United.

Namun, di awal musim, Azmi membuat kejutan apabila membuat keputusan untuk berehat sebelum perlawanan menentang Kelantan di Stadium Tun Abdul Razak.

Azmi hanya menduduki kerusi ketua jurulatih Felda United untuk tiga perlawanan sahaja.

Sebelum ini, Azmi pernah menjadi jurulatih bagi pasukan Johor FA, JDT (pemangku jurulatih) dan JDT II.

Karl-Heinz Weigang

Photo credit: alchetron.com

Jika anda menonton Ola Bola, pastinya anda mengenali watak jurulatih pasukan kebangsaan dalam filem itu, Harry Mountain. Sebenarnya, watak Harry Mountain dalam dunia sebenar adalah Karl-Heinz Weigang.

Pencapaian paling popular Weigang adalah ketika berjaya membawa pasukan Malaysia layak ke Sukan Olimpik 1980 walaupun Malaysia ketika itu membuat keputusan untuk memboikot temasya sukan berkenaan.

Selain itu, Weigang juga merupakan jurulatih yang paling terkenal dan sinonim dengan pasukan Perak apabila membawa pasukan Bos Gaurus itu menjulang Piala Malaysia pada tahun 1998.

Weigang bukan sahaja pernah melatih pasukan Perak, tetapi juga pernah memegang jawatan Pengarah Teknikal bagi pasukan itu dan merupakan penyelamat buat pasukan Perak, setiap kali mereka dilanda masalah.

Namun, Weigang akhirnya berpisah dengan pasukan Perak selepas berjaya mencatatkan kemenangan ke atas Johor Darul Ta’azim dalam saingan Liga Super di Ipoh.

Weigang sebelum ini turut menerima kecaman dari penyokong dan juga berselisih faham dengan pihak pengurusan. Dia pernah menyuarakan ketidak puasan hatinya apabila pasukan tidak mempunyai padang latihan.

Jadi apa persamaan mereka?

Cuba anda perhatikan betul-betul pada setiap individu berkenaan. Kesemua mereka mempunyai kaitan dengan JDT. Dua bekas jurulatih JDT dan seorang lagi dipecat selepas perlawanan menentang JDT.

Namun, punca mereka meletakkan jawatan atau direhatkan bukanlah berpunca dari JDT sebenarnya. Sekadar satu persamaan.

Liga Super 2017 masih panjang dan banyak nama jurulatih yang disebut bakal disingkirkan. Siapakah mangsa seterusnya? Itu kita perlu tunggu.

Other posts by