Football

Saya bimbang dengan keselamatan pasukan kebangsaan – Safee Sali

Bagaikan mahu pergi berperang.

Mungkin itulah yang terlintas di fikiran pemain bolasepak skuad kebangsaan yang akan bermain di Pyongyang pada Mac hadapan.

Isu keselamatan dan hubungan tegang di antara Malaysia dan Korea Utara baru-baru ini menyebabkan pemain mula risau dengan keselamatan mereka dan sedikit sebanyak ini mampu mengganggu persiapan skuad kebangsaan dalam percubaan untuk layak ke Piala Asia 2019.

Apa yang terjadi?

Jika anda tinggal dalam tempurung, mungkin anda tidak tahu mengenai kejadian kematian Kim Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un yang didakwa dibunuh oleh dua orang wanita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) pada minggu lalu.

Hubungan tegang mula berlaku apabila Korea Utara meminta tubuh Jong-nam diserahkan kepada mereka dan menolak semua keputusan siasatan serta bedah siasat yang dijalankan oleh pihak Polis diRaja Malaysia (PDRM). Bahkan, mereka mengutuk keras tindakan PDRM yang melakukan siasatan tersebut.

Apa kata pemain?

Penyerang pasukan kebangsaan, Mohd Safee Sali merasa bimbang dengan perkembangan terbaru ini dah mahu jaminan keselamatan untuk pasukan di sana.

Bercakap kepada Harian Metro, Safee berkata: “ Kami mempunyai keluarga di sini, sudah tentu apabila pasukan pergi ke sana secara tidak langsung wujud rasa takut dalam kalangan ahli keluarga kami.

“Malah, saya sendiri juga bimbang akan faktor keselamatan sekiranya bermain di sana. Sebab itu, kalah boleh saya harap pihak FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) dapat memberi jaminan keselamatan kepada kami sepanjang berada di sana.

“Namun, sebagai pemain, kami tetap akan akur dengan apa jua keputusan tapi kalau boleh selesaikan isu ini dengan cepat supaya pemain dapat bersedia sepenuhnya tanpa diganggu dengan masalah itu.”

Apa tindakan selanjutnya?

Setakat ini, AFC tetap dengan keputusan asal untuk perlawanan berlangsung di Pyongyang dan memberi jaminan tahap keselamatan di tahap terbaik.

Namun, dengan kes ini masih dalam siasatan dan Korea Utara terus menerus mendesak agar badan Jong-nam dipulangkan kepada mereka, isu ini perlu terus dipantau oleh AFC dan FAM sendiri.

Pemain dan staff kejurulatihan perlukan suasana yang tenang dan aman tanpa rasa risau terhadap keselamatan mereka. Mereka juga mempunyai keluarga yang bergantung kepada mereka. Namun, diharap juga pihak Korea Utara dapat menolak isu politik dari dicampur adukkan dalam bolasepak. Bolasepak sukan yang menyatukan orang ramai. Biarlah kedua-dua pasukan dapat bermain dengan tenang dan penuh semangat kesukanan.

 

Other posts by