Badminton

Chong Wei sertai ‘Projek Khas’ untuk Kejohanan Dunia

Jika anda ingat pada tahun 2014 dahulu, Nike pernah mengeluarkan satu iklan berkenaan satu skuad khas bagi menentang pemain bolasepak Cyborg. Nampaknya BAM juga mahu mewujudkan pasukan khas mereka sendiri, tetapi bukan untuk melawan Cyborg.

Bagi mempersiap skuad badminton negara untuk kejohanan dunia, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah membentuk satu pasukan untuk menyertai ‘Projek Khas’.

Projek khas ini akan dikendalikan oleh dua jurulatih iaitu Hendrawan dan Tey Seu Bock.

Siapa yang menyertai Projek Khas ini?

Pemain Badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei adalah antara pemain yang diserap masuk ke dalam projek khas ini.

Selain Chong Wei, lima lagi pemain yang turut serta dalam Projek Khas ini adalah Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Chong Yee Han, Soong Joo Ven, Soo Teck Zhi dan Lim Chi Wing.

Apa sebenarnya Projek Khas ini?

Menurut pengerusi jawatankuasa kejurulatihan dan latihan BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, projek khas ini adalah perancangan Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost.

Memetik kenyataannya di The Star, Norza berkata: “Ianya perancangan dari Frost…tetapi kami telah melakukan beberapa perubahan. Projek khas ini adalah untuk Chong Wei dan pasukannya sertai ini untuk persiapannya bagi kejohanan dunia tahun ini.

“Hendrawan akan menjadi ketua jurulatih projek ini. Dia juga akan menjadi ahli jawatankuas C&T dan akan melaporkan secara terus kepada jawatankuasa. Untuk pemain lain dalam projek ini, tiada perubahan besar terhadap peranan mereka.

“Sudah tentu, projek ini akan ada sehingga kejohanan dunia…selepas itu ianya akan dinilai,” tambah Norza yang juga merupakan Timbalan Presiden BAM.

Bukankah Chong Wei dan Frost tidak sebulu?

Ya, namun Frost tidak terlibat dengan projek ini dan akan fokus kepada pemain lain.

Frost walaubagaimanapun percaya bahawa keputusan itu adalah cara terbaik untuk semua pihak maju ke depan.

“Keputusan ini adalah untuk membantu Chong Wei memenangi kejuaraan dunia dan saya ucapkan selamat berjaya kepadanya. Tetapi saya harap pemain lain juga akan mendapat sesuatu dari projek ini,” kata jurulatih Denmark itu kepada akhbar The Star.

Other posts by