Badminton

Anak-anak Misbun teruskan legasi Anak-Anak Sidek?

Ramai antara kita mengenali dan mengetahui mengenai kehebatan ‘Anak-Anak Sidek’. Misbun, Razif, Jalani, Rahman dan Rashid Sidek merupakan antara pemain badminton yang hebat dan sangat dikenali oleh rakyat Malaysia. Ditambah pula dengan adanya komik dan rancangan animasi, Anak-Anak Sidek suatu ketika dahulu, mereka turut dikenali golongan yang lahir selepas Malaysia memenangi Piala Thomas pada tahun 1992.

Nampaknya, kini Malaysia akan mempunyai adik-beradik baru yang bakal mencuri tumpuan. Ingin mengikut jejak langkah bapa mereka, Datuk Misbun Sidek, adalah Ramdan dan Shawal yang mahu menggegarkan dunia badminton.

Siapa mereka?

Ramdan dan Shawal kini sedang beraksi dalam Kejohanan Badminton Kebangsaan dan berjaya menang mudah dalam acara bergu lelaki ke atas pasangan Adryan Lau Abdullah-Yap Qar Siong 21-10, 21-13 yang berlangsung di Dewan Sri Perdana, Ulu Kinta, Perak, semalam.

Ramdan sebelum ini pernah bergelar juara perseorangan lelaki kebangsaan pada tahun 2012 dan akan turut beraksi dalam acara perseorangan.

Pemain berusia 26 tahun itu sebelum ini pernah berlatih bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) namun meninggalkan BAM pada tahun 2013 untuk berlatih bersama bapanya. Ramdan turut pernah memenangi Kejohanan Antarabangsa Romania pada tahun 2014 selaku pemain bebas, namun kecederaan menghalang kemajuannya.

Apa kata Misbun?

Misbun sebelum ini ragu-ragu jika anaknya mampu pulih dari kecederaan tendon achillesnya, tetapi Ramdan enggan menyerah kalah.

Memetik kata-katanya dari laporan The Star: “ Ketika Ramdan mengalami kecederaan tendon Achilles (pada tahun 2016), dia memberitahu saya bahawa dia mahu bermain lagi. Saya bagitahu dia bahawa sukar untuk bangkit semula dari kecederaan seperti itu.

“Tetapi dia tidak putus asa. Kini, dia berjaya menyempurnakan impiannya. Selaku bapa, saya bangga dia tidak menyerah kalah.”

Bagaimana pula dengan Shawal?

Misbun Shawal Misbun sebelum ini pernah merangkul kejuaraan di Kejohanan Badminton Antarabangsa Mesir dalam acara bergu bersama pasangannya Ridzwan Rahmat. Mereka turut menewaskan pilihan utama kejohanan dan pasangan tuan rumah Ali Ahmed El Khateeb-Abdelrahman Kashkal di separuh akhir.

Adakah ini petanda kebangkitan badminton Malaysia?

Masih terlalu awal untuk berkata demikian. Ramdan kini berusia 26 tahun dan Shawal pula 27 tahun. Mereka bukan lagi pemain remaja dan di peringkat antarabangsa mereka masih belum diuji. Mungkin mereka mampu mengembalikan legasi anak-anak Sidek, mungkin juga tidak. Mereka perlu bersaing di peringkat antarabangsa secara konsisten. Malaysia mempunyai ramai pemain yang berpotensi sebelum ini, namun tidak ramai yang mampu menjadi sehebat Lee Chong Wei atau anak-anak Sidek. Semoga, anak-anak Misbun ini akan mendapat perhatian dan peluang, dan mungkin mereka akan dapat membantu Malaysia menjuarai Piala Thomas sekali lagi suatu hari nanti. Ketika itu, dapat kita bayangkan senyuman di wajah Misbun Sidek.

Other posts by