Nampaknya Indonesia mahu melahirkan Lionel Messi dan Gerard Pique baru untuk negara mereka.
Pasukan di Liga 2, Persekam Metro FC merancang untuk mengirim beberapa pemain muda mereka ke Sepanyol dan Portugal.
Apa perancangan mereka?
Jurulatih Persekam dari Malaysia, Raja Isa bin Raja Akram Shah menyatakan bahawa mereka mahu menghantar pemain Bawah 12 dan Bawah 15 tahun ke luar negara untuk berlatih. Bagi pemain bawah 12 tahun, mereka akan dihantar ke La Masia, akademi bolasepak Barcelona. Bagi pemain Bawah 15 tahun pula, mereka akan dihantar berlatih bersama Sporting Lisbon di Portugal.
Kenapa Sepanyol dan Portugal?
Menurut bekas jurulatih UiTM FC itu seperti dipetik dari laporan Kompas.com : “ Tujuan mereka dihantar adalah untuk memberi peluang dan motivasi kepada pemain muda untuk bermain di luar negara. Kalau mengikut sejarah, bolasepak Indonesia sangat serasi dengan cara permainan Portugal dan Sepanyol.
“Mereka boleh belajar bagaimana membentuk karakter baru, berfikir secara positif bahawa mereka mampu bermain di luar negara dan menjadi bolasepak sebagai karier mereka di masa hadapan.”
Pemilihan bagi pemain akan dijalankan di Malang terleboh dahulu sebelum diadakan di Solo, Bandung dan Jakarta.
Malaysia tak ada perancangan sebegini?
Malaysia sebelum ini pernah menghantar beberapa pemain untuk beraksi di luar negara seperti Nazmi Faiz dan Fakri Saarani di Portugal, Wan Zack Haikal dan Nazirul Naim di Jepun serta Akmal Rizal dan Juzaili Samion di Jerman.
Mungkin Malaysia boleh melihat untuk menghantar pemain di bawah usia 12 dan 15 tahun untuk berguru di luar negara. Melihat kepada pemain yang dilahirkan menerusi NFDP, rasanya pasti banyak kelab di luar negara berminat untuk melatih pemain muda negara. Namun, Malaysia tidak boleh menghantar pemain muda secara semberono tanpa melihat hala tuju pasukan dalam negara dahulu. Selain itu, mental pemain muda itu perlu kuat kerana tidak mudah untuk mereka berkelana ke luar negara dan menjalani hidup di sana.
Other posts by Khairul Nizam