Pasukan kebangsaan Indonesia bakal bertemu pasukan Argentina dalam perlawanan persahabatan yang akan dilangsungkan pada tahun ini.
Pengarah hubungan Antarabangsa dan Media Persatuan SepakBola Seluruh Indonesia (PSS) Hanif Thamrin menyatakan bahawa perlawanan tersebut dijangka akan mengambil tempat pada 13 Jun 2017, namun perlawanan ini masih belum disahkan.
Pihak promoter yang berasal dari Indonesia baru sahaja membincangkan mengenai jadual perlawana persahabatan bertemu pasukan yang diketuai oleh bintang bolasepak dunia Lionel Messi itu. Namun begitu, perlawanan persahabatan itu juga perlu disesuaikan dengan jadual yang ditetapkan oleh jurulatih baru Indonesia, Luis Milla.
Menurut Hanif, seperti dipetik dari Bali Tribunnews: “Promoter sudah memberitahu bahawa perlawanan persahabatan menentang Argentina adalah pada 13 Jun 2017. Cuma kami perlu sesuaikan kalendar dari Milla kerana pada tarikh berkenaan, pasukan kebangsaan dijadualkan sedang menjalani latihan pusat di Valencia, Sepanyol.
Jurulatih baru Indonesia, Luis Milla, yang pernah membimbing skuad muda Sepanyol menjuarai Piala Eropah bawah 22 tahun sebelum ini telah merancang untuk membawa pasukan bawah 22 tahun Indonesia untuk ke Sepanyol bagi persiapan Sukan SEA 2017 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur, Malaysia.
Menurut Hanif lagi, pihak PSSI masih belum membincangkan mengenai perkara ini dengan serius, tetapi PSSI menyerahkan status perlawanan persahabatan itu kepada promoter yang sebelum ini pernah membawa pasukan Belanda untuk mengadakan perlawanan persahabatan di Indonesia.
“Kita akan berbincang dahulu, tetapi kalah (Lionel) Messi bermain, kenapa tidak kita adakan saja perlawanan itu,” tambah Hanif.
Hanif turut menyatakan bahawa setakat ini hanya tarikh yang sudah disahkan dan gelanggang perlawanan masih belum ditetapkan.
Other posts by Khairul Nizam