Football

Selangor mahu sambung kontrak Andik

Jodoh Andik bersama Selangor semakin panjang.

Mungkin ini akan melegakan peminat pasukan Red Giants apabila dikhabarkan pemain sayap Indonesia, Andik Vermansyah bakal mendapat kontrak baru bersama Selangor FA.

Perkara ini dinyatakan oleh ejen pemain berkenaan Muly Munial kepada Kompas.com pada hari Isnin yang lalu.

“Kontraknya pasti akan disambung walaupun kami tidak tahu bagaimana persembahan Andik dalam enam bulan yang akan datang.”

Nama Andik sebelum ini digugurkan dari pasukan Selangor selepas mengalami kecederaan ketika bermain untuk Indonesia dalam saingan Piala AFF Suzuki 2016 yang lalu.

Tempat Andik buat masa ini digantikan oleh pemain Timor Leste, Juliano Mineiro.

Muly sebelum ini telah berjumpa dengan pihak Selangor FA pada awal Februari bagi meminta penjelasan mengenai masa depan Andik.

“Dalam perjumpaan kami, isinya adalah kontrak disambung dan mereka menjelaskan kenapa Andik tidak didaftarkan.

“Mereka perlukan pemain baru kerana Andik tidak dapat bermain dalam 18 perlawanan. Pemain baru itu juga tahu dia bermain hanya untuk sementara.”

Namun, Muly mengakui bahawa dia tidak ingin terburu-buru mengenai kontrak baru Andik itu kerana mengetahui mengenai masalah kewangan Selangor FA.

“Tiada masalah untuk Andik berpindah. Di Indonesia sahaja, ada tiga atau empat pasukan yang berminat dengannya,” tambah Muly.

Selangor kini berada di tangga kelapan Liga Super dan akan bertemu Felda United pada Jumaat ini.

Other posts by