Football

Pemain kelab Liga Belanda mahu perkuat pasukan kebangsaan Indonesia

Persatuan Bolasepak Seluruh Indonesia (PSSI) terus berusaha memperkuat pasukan kebangsaan mereka dengan pemain naturalisasi demi memenuhi sasaran mereka untuk merangkul pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan mara ke separuh akhir Sukan Asia 2018.

Sebelum ini mereka mempunyai Stefano Lilipaly yang bermain di Liga divisyen 2 Belanda, dan dalam proses memberi kerakyatan kepada pemain pasukan muda Ajax, Ezra Walian, kini seorang lagi pemain yang beraksi di Belanda sedang diintai oleh mereka.

Pemain SC Telstar di Eerste Divisie Belanda, Jordy Tutuarima dikhabarkan bakal menyertai bekas rakan sepasukannya Lilipaly dalam menyarung jersi Indonesia.

Bercakap kepada Kompas.com, pemain bek kiri berusia 23 tahun itu menyatakan kesudiannya untuk menyarung jersi Indonesia.

“Saya menyokong pasukan kebangsaan Indonesia, juga kerana rakan saya Stefano Lilipaly bermain dengan mereka. Namun, saya memang mencintai negara Indonesia dan kerana itu saya menyokong timnas.

“Saya berharap menjadi salah seorang pemain yang dinaturalisasi oleh PSSI. Ketika ini saya hanya mendengar bahawa nama saya telah didaftarkan. Sayangnya saya belum berkomunikasi dengan PSSI.”

“Dengan membawa kualiti yang baik, saya berharap dapat membantu Indonesia menjuarai Piala AFF 2018 dan membawa Indonesia ke Piala Dunia.”

Jordy yang mendapat darah Indonesia dari datuknya di Maluku, sebelum ini pernah bermain untuk pasukan bawah 17 tahun Belanda.

Other posts by