Persekam Metro FC, kelab di Liga 2 Indonesia mengumumkan bahawa mereka telah menandatangani bekas jurulatih UiTM FC, Raja Isa Raja Akram Shah untuk menjadi jurulatih mereka musim ini.
Raja Isa tidak asing dengan bolasepak Indonesia selepas dibawa oleh Irfan Bakti sebagai sebahagian staff kejurulatihannya di Persipura Jayapura pada 2007, dan dinaikkan menjadi ketua jurulatih selepas Irfan kembali ke Malaysia untuk menyertai Perlis.
Jurulatih yang berasal dari Ampang, Selangor itu menyatakan bahawa dia berminat untuk menerima tawaran Metro FC kerana tertarik dengan peraturan yang dikeluarkan oleh Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) terhadap kelab yang bermain di Liga 2 di mana tiada pemain asing dibenarkan dan hanya lima pemain berusia di atas 25 tahun dibenarkan.
Memetik kata-katanya dari Kompas.com ketika sidang media di Malang pada hari Isnin : “Saya tidak berminat dengan wang. Saya berminat untuk kembali kerana peraturan baru di Indonesia. Tidak ada pemain asing.”
Raja Isa juga menyatakan bahawa visi dan misi pasukan yang dikenali sebagai Macan Kembang untuk beraksi di liga utama Indonesia turut membuatkan dia berminat untuk menyertai pasukan itu lantas mensasarkan untuk membawa pasukan ke Liga 1 pada tahun 2019.
Bekas jurulatih pasukan muda Selangor itu turut menyatakan bahawa dia sudah mula cuba membawa masuk pemain dari pasukan yang pernah dilatihnya di kelab-kelabnya sebelum ini, namun keutamaan diberikan kepada pemain tempatan.
“Keutamaan diberikan kepada pemain-pemain kelahiran Malang.”
Selain Persipura Jayapura, Raja Isa juga pernah menjadi jurulatih untuk pasukan PSM Makassar, Persiram Raja Ampat, PSMS Medan dan Persijap Jepara sebelum pulang ke Malaysia untuk melatih UiTM FC.
Other posts by Khairul Nizam