Football

Chong Wei hilang sabar dengan Frost

Saya sudah hilang sabar!

Mungkin itu apa yang bintang badminton negara Lee Chong Wei rasakan sekarang mengenai pengarah teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost.

Perselisihan faham antara dua figura penting badminton negara semakin memuncak semalam apabila Chong Wei menyatakan dia bersedia untuk keluar dari BAM.

Memetik kenyataan Chong Wei seperti dilaporkan oleh The Star, bintang badminton dunia itu berkata: “Saya sudah hilang sabar dengan Morten. Kecederaan ini kemuncaknya.

“Apa yang mengecewakan adalah cara Morten mengendalikan kecederaan saya.

“Dia tidak bertanya mengenai kecederaan saya tetapi bertanya kepada jurulatih (Hendrawan) sama ada saya mahu bersara…kenapa?

“Dia tidak mahu saya bermain lagi? Saya kecewa.”

Menurutnya lagi, BAM dan pengurus besar BAM Lawrence Chew bertindak lambat mengeani permukaan yang licin di gelanggang baru yang menyebabkan dia jatuh dan tercedera walaupun telah diberitahu oleh Hendrawan.

Chong Wei turut mendakwa, Frost meminta pemain junior untuk tidak berlatih dengannya menjelang Sukan Olimpik Rio pada tahun lalu dan mempersoal rasional keputusan Morten memecahkan pemain perseorangan lelaki kepada dua kumpulan yang dikendalikan oleh Hendrawan dan Tey Seu Bock serta satu lagi kumpulan pemain junior di bawah kendalian Indra Wijaya.

“Morten tidak mahu saya berlatih dengan pemain junior…kenapa? Ketika saya pemain junior, saya berlatih dengan senior saya. Dia melakukannya sebelum Sukan Olimpik.

“Dan kenapa pecahkan kepada dua? Bukankah pemain junior akan lebih baik berlatih dengan pemain senior?

“Dia tidak mahu mendengar. Sukan dan politik tidak patut dicampurkan, tetapi saya fikir Morten sedang melakukannya.

“Ada banyak perkara lagi melibatkan pemain lain. Semua sedang berdiam, tetapi tidak saya.

“Saya sudah lama kecewa dengannya, tetapi saya tidak buat hal kerana Hendrawan.

“Hendrawan sentiasa memberitahu saya untuk bersabar dan saya menghormatinya.

“Sekarang saya sudah hilang kesabaran dan marah…jika tiada jalan penyelesaian, saya akan keluar dari BAM,” kata Chong Wei seperti dilaporkan The Star.

Other posts by