Football

Bekalan eletrik Stadium Maracana dipotong ekoran hutang yang banyak

Stadium Maracana di Rio de Janeiro merupakan antara stadium yang menjadi tumpuan dan terkenal di seluruh dunia.

Namun perkembangan terbaru menyaksikan bekalan kuasa di stadium yang terkenal itu dipotong kerana tidak membayar bil.

Syarikat bekalan eletrik stadium tersebut, Light, mengeluarkan kenyataan mengatakan bahawa bekalan eletrik telah dipotong pada hari Khamis di stadium yang menjadi lokasi perlawanan akhir Piala Dunia 2014 dan majlis pembukaan serta penutup Sukan Olimpik Rio tahun lalu.

Syarikat berkenaan menyatakan bahawa hutang sebanyak 3 juta reals (RM 4,183,765.65) dengan 1.3 juta (RM 1,812,965.11) daripadanya sepatutnya dibayar oleh sebuah konsortium yang mengurus stadium berkenaan, diketuai oleh sebuah syarikat pembinaan Odebrecht. Bakinya adalah tanggungan penganjur Olimpik.

Sangat mengecewakan apabila stadium tersebut telah rosak dalam tempoh beberapa minggu yang lalu dan Odebrecht telah meminta Rio de Janeiro untuk mengambil alih pengurusan stadium berkenaan.

Malangnya pihak berkuasa tempatan Rio de Janeiro sendiri sedang mengalami masalah kewangan sehingga mereka gagal membayar gaji guru, jururawat dan ramai pekerja awam, serta pencen mereka.

Syarikat bekalan eletrik berkenaan berkata bahawa pihak penganjur Rio mempunyai bil yang tidak dibayar sejak November lalu hingga ke Januari.

Jurucakap penganjur Rio, Mario Andrada berkata seperti dipetik dari ESPNFC.com : “Light dan kami, mempunyai perjanjian berbeza. Mereka berhutang wang dengan kami selaku penaja, dan kami berhutang wang dengan mereka kerana bekalan kuasa ketika temasaya.”

Andrada turut menyatakan bahawa penganjur telah mendapat jalan penyelesaian dengan Light dan sedang dalam proses mempersembahkan dokumen.

Awal bulan ini, pihak polis Rio menyatakan bahawa ramai penceroboh memasuki stadium dan mencuri barang seperti set television dan hiasan arca termasuk arca Mario Filho seorang wartawan yang namanya diabadikan pada stadium berkenaan.

Other posts by