Football

Kita mampu membuat kejutan – Ong Kim Swee

Jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee yakin Malaysia mampu membuat kejutan dalam saingan kelayakan Piala Asia 2019.

“Jika kita mempunyai perancangan yang rapi, pasti saya percaya yang kita mampu melakarkan sedikit kejutan. Namun kita perlu menyiapkan diri lebih awal sebelum beraksi perlawanan pertama bertemu Korea Utara di tempat lawan 28 Mac ini,” kata pengendali kebangsaan itu seperti disiarkan melalui laman web Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Ong Kim Swee turut menyatakan bahawa Malaysia perlu mengambil peluang ketika beraksi di laman sendiri dan mengakui bahawa ia bukan jalan yang mudah.

“Saya percaya, bukan satu laluan yang mudah, namun kita perlu menyiapkan diri dan memastikan segala perancangan kita untuk perlawanan-perlawanan tersebut dan juga perlawanan persahabatan dapat kita lalui tanpa sebarang kekangan.

“Untuk layak ke peringkat seterusnya, sudah tentu kita perlu beraksi secara konsisten dan harus mendapatkan mata penuh terutamanya apabila bermain di tempat sendiri. Tapi ia bukanlah satu jalan yang mudah.”

Malaysia memulakan aksi Kelayakan Piala Asia 2019 dengan menentang Korea Utara di Pyongyang pada 28 Mac dan diikuti dua perlawanan di tempat sendiri menentang Lebanon (13 Jun) dan Hong Kong (5 September).

Seterusnya Malaysia akan bertandang ke Hong Kong pada 10 Oktober sebelum menerima kunjungan Korea Utara pada 14 November. Perlawanan terakhir Malaysia adalah menentang Lebanon di tempat lawan pada 27 Mac 2018.

Other posts by