Badminton

Goh Jin Wei dicalonkan untuk Program Podium

Bekas juara remaja dunia, Goh Jin Wei kini dicalonkan untuk menyertai program podium yang merupakan program untuk calon-calon atlet yang dijangka mampu menghadiahkan pingat kepada Malaysia di peringkat antarabangsa.

Goh Jin Wei dilihat sebagai calon yang berpotensi untuk memenangi pingat di Sukan Olimpik, Sukan Komanwel dan Sukan Asia di masa hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Norza Zakaria berkata pemain berusia 17 tahun itu dan lima pemain lagi akan dibawa masuk ke Program Podium selepas menunjukkan prestasi baik tahun lalu.

“Kami telah menamakan Jin Wei dan lima pemain lagi berdasarkan aksi baik mereka tahun lalu,” kata Norza kepada akhbar The Star.

“Program podium telah menambah kriteria pemilihan mereka. Pemain yang mempunyai potensi untuk memenangi pingat di acara sukan besar – Olimpik, Komanwel dan Asia – boleh dicalonkan.” kata Norza yang juga Timbalan Presiden BAM.

Lima pemain yang turut dicalonkan adalah Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Teo Ee Yi – Ong Yew Sin dan Tan Kian Meng – Lai Pei Jing.

Tujuh pemain yang sudah berada dalam program tersebut adalah Lee Chong Wei, Goh V Shem – Tan Wee Kiong, Woon Khe Wei – Vivian Hood an Chan Peng Soon – Goh Liu Ying.

Other posts by