Perkembangan terbaru di Selangor adalah apabila Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Jamal Md Yunos menawarkan diri untuk menjadi Presiden FAS ekoran perletakan jawatan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dari jawatan berkenaan pada 30 Disember lalu.
Jamal dalam kenyataannya mengatakan bahawa Selangor mampu menyaingi Johor Darul Ta’azim (JDT) jika ditadbir dengan betul.
Antara perkara yang ditekankan oleh Jamal jika dia menjadi Presiden FAS adalah jaminan bahawa semua tunggakan gaji pemain akan diselesaikan selain daripada menyusun semula kedudukan kewangan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).
Adakah benda ini serius atau sekadar satu sandiwara politik? Seperti yang seluruh Selangor sendiri tahu, Jamal sememangnya mempunyai masalah dengan Azmin ekoran perbezaan fahaman politik.
Penglibatan ahli politik dalam bolasepak bukan perkara baru di Malaysia. Rata-rata pasukan negeri mahupun kelab pastinya ada kaitan dengan ahli politik sama ada secara terus atau tidak.
Kebanyakan presiden persatuan bolasepak negeri di Malaysia dinaungi oleh menteri besar negeri masing-masing. Masalah kebiasaannya akan timbul apabila berlakunya pertukaran menteri besar sama ada dari parti yang sama atau berbeza.
Bagi para penyokong, ahli politik sebenarnya menggunakan pasukan bolasepak untuk menaikkan imej mereka bagi mendapatkan sokongan semasa pilihan raya nanti. Rata-rata menyatakan bahawa ahli politik tidak ikhlas dalam membantu pasukan negeri dan kebiasaanya akan meninggalkan pasukan apabila tugas mereka selesai.
Tidak dapat dinafikan bahawa ada sesetengah ahli politik yang memang menyokong pasukan bolasepak negeri, namun ada juga yang memang menggunakan bolasepak sebagai alat untuk menaikkan populariti mereka.
Isu seperti Selangor ini sememangnya dilihat oleh orang yang bergiat dalam politik sebagai satu isu yang sesuai untuk menjadikan mereka hero. Serangan demi serangan diberikan semata-mata mahu dilihat sebagai jaguh dan di akhirnya penyokong dan pemain yang menjadi mangsa.
Masalah di Selangor nampaknya masih tidak nampak sinarnya. Perbezaan politik menjadikan isu ini berpanjangan. Sepak mula Liga Malaysia akan berlangsung tidak lama lagi dan Selangor masih dalam keadaan caca marba.
Semakin panjang isu ini berlarutan, semakin rosak imej Selangor sebagai pasukan berstatus legenda di Malaysia yang telah merangkul begitu banyak trofi dan telah menghasilkan begitu banyak pemain untuk pasukan kebangsaan sebelum ini.
Mungkinkah jika Jamal menjadi presiden FAS, Selangor akan dikenali sebagai The Red Towels? Atau akan ada perarakan Merah Kuning di jalanan sebelum perlawanan Selangor? Siapa tahu.
P.S: Tulisan adalah pendapat peribadi penulis dan tiada tuala yang terkorban dalam penulisan ini
Other posts by Khairul Nizam