Football

FIFA mahu perkenal peraturan untuk perbaiki tingkahlaku pemain – Van Basten

FIFA sedang bercadang untuk memperkenal peraturan bagi mengurangkan tingkahlaku kasar pemain ketika perlawanan, menurut penyerang legenda Belanda Marco Van Basten.

Bekas penyerang berusia 52 tahun itu, yang juga Ketua Pegawai Pembangunan Teknikal di badan bolasepak itu, berkata dia bersungguh-sungguh untuk mengurangkan insiden kekasaran pemain ketika berdepan pegawai perlawanan.

Van Basten telah mencadangnkan peraturan yang sama seperti sukan Ragbi, di mana hanya ketua pasukan dibenarkan untuk bercakap dengan pengadil, bagi mengurangkan pembaziran masa yang berlaku disebabkan pertelingkahan.

“Saya yakin sikap pemain boleh menjadi lebih baik. Kami sedang memikirkan untuk meletakkannya di tempat yang betul,” katanya kepada BBC.

“Kita perlu berhati-hati dengan pembaziran masa, sikap pemain. Kini ramai yang mengadu atau bersuara ketika perlawanan. Kita perlu berfikir mengenai hanya ketua pasukan yang boleh bercakap dengan pengadil, bukan semua pemain, kerana kita membuang banyak masa.

”Kita mahukan perlawanan bolasepak yang bagus, dinamik, menarik tetapi juga jujur. Terdapat banyak emosi ketika perlawanan tetapi kita perlu mengawalnya. Penyokong mahu melihat aksi.”

Teknologi video untuk pembantu pengadil (VAR) telah dicuba ketika Piala Kelab-Kelab Dunia dan menerima sambutan berbeza, dengan pemain Real Madrid Luka Modric menyatakan bahawa dia tidak mahu melihat sistem itu digunakan lagi.

Van Basten menerima hakikat bahawa VAR itu belum sempurna namun percaya ia akan menjadi penting untuk menyelesaikan kontroversi dalam perlawanan penting, seperti jaringan ‘hand of God’ yang dilakukan oleh Diego Maradona dalam perlawanan menentang England di Piala Dunia 1986.

“Saya mahu membantu semua yang terlibat dalam bolasepak untuk menjadikannya lebih menarik, menakjubkan, tetapi juga jujur,” katanya lagi.

“Kami mempunyai projek dengan bantuan video pengadil dan itu isu yang ramai sedang memperkatakan buat masa ini.

”Ianya bagus, kerana ia membantu kejujuran dalam perlawanan. Ia tidak sempurna, kami sedar, tetapi ia bagus untuk bolasepak dan saya rasa semua pihak akan menyukainya.

“Ianya penting apabila kita mendapat keputusan penting darinya. Kita sudah lihat gol dari Diego Maradona dahulu, keputusan yang mempunyai kesilapan besar – semua orang pertikaikannya. Ini sasaran utama kami.

Van Basten juga mengakui bahawa dia memahami keluhan penyokong mengenai Piala Dunia dikembangkan kepada 48 pasukan, namun dia percaya ia akan membantu.

“Saya boleh faham kenapa ramai tidak suka untuk lebih banyak negara sertai kerana sekarang pun sudah banyak tetapi saya juga faham (Presiden FIFA) Gianni Infantino,” kata Van Basten.

“Jika kita ada 48 negara dalam Piala Dunia, bermaksud lebih banyak negara dapat merasai nikmat menyertai Piala Dunia.”

Other posts by