Selepas kejayaan mara ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2016, Indonesia dilihat semakin bernafsu untuk terus mara ke depan.
Antaranya adalah cubaan mereka untuk mendapatkan bekas jurulatih Belanda dan Korea Selatan, Guus Hiddink untuk menjadi ketua jurulatih baru mereka.
Menurut Four Four Two Indonesia, saranan tersebut disebut oleh Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Imam Nahrawi kepada Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) supaya mereka mendapatkan jurulatih berkelas dunia untuk melatih skuad kebangsaan mereka dan beliau merasakan Hiddink merupakan calon paling tepat.
Nama Hiddink bukanlah satu nama yang baru kerana sebelum ini, namanya turut dicadangkan untuk menjadi jurulatih Indonesia pada tahun 2009 oleh wakil Presiden Indonesia, Jusuf Kalla.
Menurut Wakil Ketua Umum PSSI, Joko Driyono mereka menerima saranan dari sesiapa pun.
“Ini hak kami untuk tentukan. Namun, kami menerima cadangan dari sesiapa pun termasuk Menteri Pemuda dan Olahraga (Menpora)”.
Dengan perkembangan ini, nampaknya nasib Alfred Riedl masih tidak diketahui walaupun dia berjaya membawa skuad Indonesia ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki di mana mereka tewas kepada Thailand.
Other posts by Khairul Nizam