Penyerang pasukan wanita Amerika Syarikat, Alex Morgan bakal menyertai Lyon secara pinjaman enam bulan bermula Januari depan.
Namun, dia bukan menyertai pasukan Lyon yang bermain di Ligue 1, tetapi pasukan wanita kelab berkenaan.
Pemain berusia 27 tahun itu yang telah memenangi Piala Dunia wanita dan pingat emas sukan Olimpik untuk Amerika Syarikat, akan menyertai kelab juara Eropah itu secara pinjaman dari Orlando Pride yang bermain di NWSL.
Morgan berkata bahawa keputusan untuk meninggalkan kelabnya “tidak mudah” namun dia berharap perpindahan berkenaan “akan meningkatkan tahap permainannya”.
Menurutnya, dia bercadang untuk kembali ke Orlando pada bulan Jun, namun Lyon menyatakan bahawa ada pilihan untuk melanjutkan pinjaman kepada setahun dalam perjanjian tersebut.
Lyon melakukan treble msuim lalu apabila memenangi Liga Juara-Juara, Liga Perancis dan Piala Perancis, dan presiden kelab Jean-Michel Aulas berkata, kehadiran Morgan membuktikan keinginan mereka untuk “membeli pemain berkualiti tinggi”.
Morgan yang menjaringkan 73 gol dalam 120 perlawanan untuk Amerika Syarikat, merupakan pemain yang menerima gaji tertinggi bagi bolasepak wanita pada tahun 2015, dengan anggaran gajinya mencecah £1.9 juta termasuk tajaan.
Other posts by Khairul Nizam