Football

Kiatisuk hadiahkan kemenangan separuh akhir Piala AFF untuk Mendiang Raja Thailand

Ketua Jurulatih Thailand Kiatisuk Senamuang mendedikasikan kemenangan 2-0 mereka di separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki ke atas Myanmar kepada mendiang Raja Bhumibol Adulyadej lapor ESPN.

Raja kesayangan rakyat itu, yang memegang takhta selama 70 tahun, mangkat pada 13 Oktober dan ditangisi seluruh pelusuk Thailand.

Sejak kemangkatan Baginda, pasukan Thailand tidak tewas dalam lima perlawanan, menjaringkan 10 gol dan bolos hanya tiga kali.

Menentang Myanmar pada hari Ahad, dua gol dari Teerasil Dangda meletakkan juara bertahan Piala AFF itu dalam kedudukan selesa menjelang separuh akhir kedua di Stadium Rajamangala, Bangkok pada hari Khamis.

Kemenangan dalam perlawanan yang didominasi pasukan Gajah Putih itu memberikan kegembiraan kepada Thailand yang masih dalam tempoh berkabung.

“Kemenangan ini hadiah kami buat Mendiang Raja kami yang bakal menyambut hari lahirnya (pada hari Isnin) dan juga kepada Raja kami yang baru (Raja Rama X),” kata Kiatisuk seperti dilaporkan oleh Sports247.my

Dominasi Thailand dalam perlawanan tersebut dapat dilihat apabila mereka membuat percubaan ke arah gawang Myanmar sebanyak 15 kali, termasuk sembilan percubaan tepat.

“Kami mendapat peluang dan menjaringkan gol, tetapi ia belum tamat. Mungkin (Myanmar) berada dalam tekanan, tetapi saya percaya mereka mampu beraksi lebih baik di perlawanan seterusnya,” kata Kiatisuk.

Dua gol Teerasil itu meletakkannya di tangga teratas penjaring terbanyak Piala AFF dengan lima gol keseluruhan, mengatasi penyerang Indonesia Boaz Salossa yang menjaringkan tiga gol.

Other posts by