Football

Atletico Nacional mahu CONMEBOL berikan gelaran juara Copa Sudamericana kepada Chapecoense

Chapecoense mungkin bergelar juara Copa Sudamericana selepas Atletico Nacional mengesahkan bahawa mereka telah meminta CONMEBOL memberikan gelaran tersebut kepada pasukan Brazil itu.

Kisah dongeng perjalanan pasukan underdog Brazil ke perlawanan akhir kejohanan bolasepak kedua terbesar di Amerika Selatan itu berakhir dalam satu tragedi pada lewat malam Isnin apabila penerbangan LaMia 146 yang mereka naiki terhempas berdekatan Medellin, Colombia.

Hampir kesemua pemain dan staff kejurulatihan meninggal dunia di tempat kejadian, yang turut mengambil nyawa krew penerbangan dan lembaga pengarah kelab.

76 penumpang disahkan terkorban setakat ini.

Atletico Nacional, juara bertahan Liga Colombia dan Amerika Selatan, telah mengesahkan mereka meminta badan pentadbir bolasepak Amerika Selatan, CONMEBOL, untuk memberikan gelaran itu kepada Chapecoense.

Pemain pertahanan Gilberto Garcia memberitahu wartawan dalam satu kenyataan penuh emosi:

“Kami menunggu keputusan yang akan diambil CONMEBOL.

”Pegawai akan berbincang tetapi kamu mahu mereka memberi gelaran juara kepada pasukan ini.

“Ianya adalah sesuatu yang kami mahukan…Ini salah satu inisiatif kami dan saya tahu dunia bolasepak juga mahukannya.

“Kami harap CONMEBOL akan menunaikannya.

“Kami juga mahu menghantar ucapan takziah kepada semua keluarga yang terlibat.”

Kelab lain dari liga utama Brazil telah memohon supaya Chapecoense diberi keistimewaan untuk tidak tersingkir dari liga selama tiga musim.

Mereka juga mencadangkan agar kelab-kelab meminjamkan pemain kepada kelab itu secara percuma bagi musim 2017.

Laporan turut menyatakan bahawa kelab gergasi Perancis, Paris Saint-Germain telah memberitahu UEFA bahawa mereka akan menderma sebanyak €40 juta kepada Chapecoense.

Selain itu, turut dilaporkan bahawa bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo mahu mendermakan €3 juta kepada kelab Brazil itu bagi membantu.

Other posts by