Featured, Football

#MatchdayMadness: Dari KL ke Yangon demi Harimau Malaysia

Aku sayangkan Harimau Malaysia. Aku memang suka pergi ke stadium menyokong Malaysia jika ada perlawanan. Namun, aku tidak punya semangat dan kegilaan yang cukup untuk menghabiskan wang banyak untuk pergi ke luar negara dan menyokong Malaysia. Dari dulu aku hanya melihat mereka beraksi di kaca TV kalau mereka bermain di tempat lawan.

Segalanya bermula pada suatu malam. Melihat pada jadual perlawanan Malaysia dan kerja, aku mula berfikir sama ada aku patut ke Yangon atau tidak. Dalam banyak-banyak negara di Asean, Myanmar adalah satu-satunya negara yang sedikit asing bagi aku. Tidak banyak yang aku tau mengenai Myanmar selain mungkin Wilayah Bagan yang terkenal dengan pemandangan cantik dan Pagodanya.

Malam itu aku mula mengkaji mengenai Yangon. Ada rasa was-was dalam diri. Ditambah pula aku bakal pergi sorang-sorang. Buka google. Buka laman web air asia. Buka twitter. Tanya orang. Tutup semula semua tab. Berulang kali aku buat semua tu. Tengok duit dalam akaun bank. Aku geleng kepala. “Duit tu banyak benda lagi aku buat,” fikir aku masa tu. Beberapa minit kemudian, aku dapat sms mengatakan gaji sudah dimasukkan ke akaun. Tibat-tiba aku jadi gila dan tanpa berfikir panjang terus book tiket ke Yangon. Aku memilih perlawanan terakhir bertemu tuan rumah.

Selesai beli tiket ke Yangon, aku hubungi kawan aku yang juga akan ke sana untuk membantu aku membeli tiket perlawanan. Kebetulan kawan aku itu juga ke sana cuma lebih awal kerana dia akan menyaksikan kesemua perlawanan Malaysia di sana. Selesai urusan tiket.

Seterusnya untuk visa. Ya, untuk ke Myanmar kita perlukan visa walaupun Myanmar berada dalam rantau Asia Tenggara sama seperti kita. Tak susah pun nak buat visa ke Myanmar. Pergi ke sebuah syarikat yang terletak di atas Burger King Masjid Jamek, bawa salinan passport, gambar berukuran passport dua keeping, salinan tiket penerbangan dan booking hotel, bayar RM143 dan visa anda akan siap pada hari yang sama (jika anda pergi sebelum waktu makan tengahari).

Dua hari sebelum aku berangkat ke Yangon, mula kecoh isu Malaysia akan tarik diri kerana isu keganasan di Wilayah Rakhine dan pembunuhan etnik Rohingya. Aku terfikir: “Semua dah bayar ni. Janganlah tarik diri. Ada trip ni aku jalan-jalan je nanti.”

Waktu penerbangan aku pada pukul 6.55 pagi Jumaat dan jemaah menteri akan berbincang pada hari yang sama. Ada kemungkinan ketika aku sampai mereka membuat keputusan untuk Malaysia menarik diri dan aku hanya akan berjalan-jalan di Yangon dengan kekecewaan. Syukur itu tidak berlaku.

IMG_2264
Pengembaraan berseorangan ke Yangon bermula!

 

Penerbangan selama dua jam tiga puluh minit itu tidak terasa. Aku rasa sangat teruja untuk pertama kali ke luar negara demi menyokong pasukan Harimau Malaysia dalam misi mara ke separuh akhir Piala AFF Suzuki 2016.

Setibanya aku di Lapangan Terbang Antarabangsa Yangon, aku terus menukar wang ke matawang Myanmar iaitu Kyat. Di Malaysia tidak ada pengurup wang yang menjual matawang Kyat ini. Jadi aku perlu tukar ke Dollar US dan tukar di Myanmar. Juga di airport, aku membeli simkad untuk memudahkan aku menggunakan internet di Yangon.

IMG_2367
Pemandangan biasa di Yangon. Lelaki memakai kain pelikat.

Satu pemandangan pelik sebaik sahaja aku tiba, ramai lelaki memakai kain pelikat. Pada mulanya aku ingat hanya pemandu teksi memakai kain itu. Namun, bila aku menjelajah bandar Yangon, rupanya itu pakaian rasmi mereka. Bayangkan pekerja ofis tak kira pangkat memakai kemeja dan kain pelikat ke ofis dan juga sang jejaka membawa kekasih hati ke kompleks membeli belah dengan memakai kain pelikat! Para gadis pula muka mereka ditepek bedak sejuk walaupun ketika berkerja. Mungkin sebab itu kulit muka mereka cerah dan mereka nampak jelita sekali. Jika anda rasa Nora Danish (pelakon Malaysia yang mempunyai darah Myanmar) itu cantik, di Myanmar ramai lagi cantik.

IMG_2458
Thanlwin Guest House tempat penginapan aku sepanjang di Yangon. Terima kasih @Pulottutui!

Aku terus menaiki teksi ke Thanlwin Guest House yang terletak berdekatan dengan Tasik Inya untuk check in. Guest House ini dicadangkan kepada aku oleh seorang kenalan di Twitter yang pernah berkejar di Yangon. Teksi di Myanmar kau kena biasakan diri dengan kepanasannya. Yangon sangat panas dan mereka tidak membuka penghawa dingin. Umpama duduk di dalam ketuhar. Menaiki teksi di Yangon juga kita digalakkan untuk berdoa sebelum, semasa dan selepas menaiki teksi. Tidak, itu bukan budaya mereka tetapi melihat cara mereka memandu, itulah sebaiknya yang perlu dilakukan supaya kita pergi dan pulang dalam keadaan masih hidup!

Selesai urusan penginapan, aku mula merangka perjalanan aku di Yangon. Perut mula merasa lapar dan aku terus ke Plaza Myanmar berdekatan hostel aku. Di Myanmar bagi orang Islam, tidak sukar mencari makanan halal walaupun majoriti rakyatnya beragama Buddha. Pilih sama ada makan makanan vegetarian atau pergi ke kawasan Anawrahta Road. Wajib untuk cuba Biryani dan teh di Myanmar.

Namun, masalah tidak terhenti di situ kerana NGO di Malaysia akan membuat bantahan di depan kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur. Itu sedikit sebanyak menimbulkan kegusaran kepada penyokong Malaysia di sana kerana risau penduduk Myanmar akan membalas kepada mereka di sana. Ramai rakanku yang sudah berada di sana membuat keputusan untuk tidak keluar pada tengahari itu sehingga protes selesai kerana takut.

Aku pada mulanya merasa risau, tetapi melihat keramahan pekerja di tempat penginapan aku dan di Plaza Myanmar, terus hilang kegusaran itu. Aku menghabiskan hari itu dengan bersiar-siar di sekitar bandar Yangon. Aku turut meluangkan masa melawat kompleks Sukan Yangon United yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari penginapanku.

IMG_2282
Kompleks Sukan Yangon United ada padang sintetik, padang latihan, asrama, galeri, kolam renang, gym dan kedai barangan penyokong.
IMG_2287
Galeri di kawasan asrama pemain. Ada mempamerkan jersi setiap musim dan piala yang dimenangi mereka
IMG_2465
Sempat membeli jersi dan mafla Yangon United di kedai penyokong

Yangon United, sebuah pasukan berpengkalan di Yangon sangat mengagumkan. Kemudahan kompleks sukannya boleh dikatakan lebih maju dari sebahagian besar pasukan di Liga Malaysia. Kompleks mereka mempunyai dua padang latihan (salah satunya adalah padang sintetik) , kolam renang, asrama, kemudahan gym dan kedai cenderamata untuk penyokong yang menjual barangan pasukan. Kalau di Malaysia, jangan harap ada semua ni kecuali mungkin JDT.

Selesai melawat Kompleks Sukan Yangon United, aku terus ke Sule Pagoda untuk bersiar-siar dan kemudian ke Nilar Biryani yang terletak tidak jauh dari situ untuk makan malam dan bertemu kawan. Ramai juga penyokong yang hadir dari perlawanan pertama di Yangon sudah mula demam kerana cuaca yang sangat panas dan berhabuk. Walaupun aku baru sampai, tetapi aku sudah mula merasa hendak demam. Tips untuk anda, sentiasa bawa bekalan air untuk minum kerana cuaca yang sangat panas dan jangan minum air dari paip mereka.

IMG_2331
Sule Pagoda. Salah satu tarikan di Yangon.

Hari berikutnya aku hanya menghabiskan masa pagi aku di hostel sebelum berangkat ke stadium. Di Yangon, sepak mula bermula pukul 6.30 petang, jadi aku perlu berangkat ke stadium sekitar jam 3 untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas. Aku bertolak awal sedikit kerana ingin melihat suasana sekitar stadium dan mencari sedikit cenderahati di sekitar stadium.

Stadium Thuwanna terletak hanya 4.5 km dari tempat penginapan aku, tetapi aku tetap perlu keluar awal kerana rakyat Myanmar gila bola dan mereka kebiasaannya akan bertolak ke stadium awal.

IMG_2362
Sekitar Stadium Thuwunna

Sebaik saja aku sampai di stadium, aku dihalang masuk ke kawasan stadium kerana tidak mempunyai tiket. Bayangkan, Stadium Nasional Bukit Jalil dan anda ditahan di kawasan pintu keluar stesen LRT kerana tidak mempunyai tiket perlawanan. Ya, di situ lagi kawalan keselamatan mereka bermula. Menurut pengawal yang bertugas, mereka terpaksa berbuat demikian kerana jika tidak, ada penyokong tempatan yang tidak mempunyai tiket akan memanjat pagar stadium untuk masuk. Masuk akal juga. Jadi aku tunggu sehingga rakanku sampai kerana dia yang memegang semua tiket penyokong Malaysia.

IMG_2365
Ucapan khas kepada pemain kegemaran, Fakri Saarani!

Melihat di sekitar, penyokong Myanmar nampak bersemangat. Sambil menaiki lori beramai-ramai mereka menyanyikan lagu dan bersorak “Myanmar Hey!” berulang kali. Ada rasa gerun sedikit apabila menjadi minority di situ. Kebiasaannya tengok di Stadium Shah Alam atau Bukit Jalil, penuh penyokong Malaysia. Ini bagaikan menjadi semut hitam di sekeliling semut merah.

IMG_2378
Fanzone di perkarangan Stadium Thuwunna. Myanmar,hey!

Apa yang aku suka mengenai kawalan keselamatan di Stadium Thuwanna adalah kelancarannya. Walaupun kita perlu melalui banyak prosedur, tetapi semuanya lancar dan pantas. Dan pihak keselamatan di sana bijak. Jika di Malaysia, mereka akan merampas pemetik api atau lighter untuk menghalang orang menghisap rokok yang akhirnya tetapi akan ada yang menyeluduk masuk, di Yangon mereka merampas rokok. Tiada rokok, maka tidak berguna pemetik api yang diseludup masuk. Bijak.

Di Stadium Thuwanna tidak ada burger kosong tanpa sayur dan sos. Tetapi ada popcorn dan nasi goreng. Malangnya, jika anda mahu membuang air kecil atau besar, tandasnya sangat jauh. Anda perlu turun dan berjalan ke arah pintu masuk semata-mata untuk ke tandas!

IMG_2382

Pukul 6 petang. Stadium mula penuh. Penyokong Myanmar membanjiri stadium demi memberi sokongan kepada pasukan mereka. Bergema stadium dengan sorakan “Myanmar Hey!”. Penyokong Malaysia tidak mahu kalah. Walaupun tidak ramai, tetapi penyokong Malaysia mula bersorak sambil dipimpin oleh Ultras Malaya. Biarpun ditenggelami sorakan penyokong Myanmar, kami tetap bersorak bagi memberitahu Harimau Malaysia kami ada di sana untuk mereka.

Perlawanan bermula. Malaysia nampak gugup dan serba tidak kena. Myanmar yang hanya perlu seri mengasak kubu Malaysia. Asakan demi asakan membuahkan hasil dan mereka mendapat sepakan penalti! Kami sudah mula terdiam. Tetapi tidak lama. Khairul Fahmi atau Saiful Apek bak kata pengulas sukan di Malaysia menyelamatkan keadaan! Kami bersorak gembira. Separuh masa pertama 0-0.

Separuh masa kedua bermula. Malaysia mula cuba menyerang. Serangan demi serangan tidak membuahkan hasil. Malaysia seakan-akan ketandusan idea untuk membolosi gawang Myanmar. Syazwan, Mat Yo, Hazwan, Amri, Badd tidak berjaya menewaskan penjaga gol Myanmar. Ong Kim Swee memasukkan Safee dan Darren untuk membantu. Juga gagal. Di saat kita cuba mencari gol, kita bolos. Myanmar menjaringkan gol dan pemain Malaysia terus terduduk. Kami pun terdiam. Tetapi jauh di sudut hati aku rasa Malaysia mampu untuk membuat comeback. Masih ada masa. Malangnya, kita gagal juga. Malaysia gagal ke separuh akhir Piala AFF Suzuki selepas kali terakhir gagal melakukannya pada tahun 2008.

IMG_2399
Kekecewaan jelas dilihat di muka pemain Malaysia

IMG_2389

Penyokong Malaysia kecewa. Penyokong Myanmar gembira. Pemain Myanmar mengelilingi padang tanda penghargaan kepada penyokong. Bergema stadium dengan sorakan mereka.

Pemain Malaysia? Hanya Ronny Harun dan Nazirul Naim yang tampil berhampiran kami untuk memberi penghargaan. Ada pemain Malaysia yang terus masuk ke bilik persalinan sebaik sahaja perlawanan berakhir tanpa memandang sedikit pun kepada kami. Kami yang telah membelanjakan wang yang banyak sehingga ada yang menjual barangan peribadi seperti motorsikal sendiri untuk menampung perbelanjaan ke Yangon. Kami faham kekecewaan anda, tapi apa salahnya datang kepada kami dan menghargai pengorbanan penyokong yang bergolok gadai demi cinta kepada pasukan Malaysia?

Pesta penyokong Myanmar diteruskan di luar stadium dan di jalanan. Kami menunggu sebentar di kawasan sekitar stadium. Raut muka kecewa nampak di muka penyokong Malaysia. Berbual dengan mereka, tidak ada seorang pun yang menyesal datang ke Yangon walaupun terpaksa bergolok gadai. Mereka lebih kecewa kerana sudah merancang untuk ke Bangkok bagi menyaksikan perlawanan separuh akhir (jika Malaysia layak, mereka akan bertemu Thailand di separuh akhir). Bagi mereka itu lumrah menyokong. Ada masanya kita menang, ada masanya kita gagal. Sokongan tetap perlu diteruskan.

Kami singgah untuk makan malam dan beransur pulang ke hostel masing-masing selepas itu. Esok kami akan pulang kembali ke tanah air.

Sebelum berangkat ke lapangan terbang, aku menghabiskan masa bersiar-siar di Yangon. Semua tempat yang aku pergi dan apabila aku menyebut nama Malaysia, terus mereka berbual mengenai bolasepak dengan aku. ‘Bahasa Bolasepak’ ini universal. Kau boleh berbual dengan orang asing bagaikan rakan karib dengan topik bolasepak. “Malaysia very good before. This year Myanmar good,” kata pemandu teksi yang menghantar aku ke lapangan terbang. Ya, kita pernah bagus dulu, tapi entah mana silapnya kita jatuh terduduk sekarang.

Orang akan kata menyokong pasukan sampai bergolok gadai ke luar negara ni perkara sia-sia. “Orang gila je pergi sokong Malaysia ni. Dah tau dah Malaysia ni main teruk nak sokong juga,” antara ungkapan biasa didengari. Tidak. Tidak sama sekali. Bolasepak itu sukan romantis. Sukar untuk dijelaskan, tetapi romantisnya ada. Kau tidak tahu kenapa kau nak menyokong gila-gila sampai ikut ke luar negara untuk saksikan pasukan kau beraksi dan kau tahu kekecewaan itu pasti ada, tetapi kau tetap nak pergi. Satu perkara yang aku yakin adalah, ini bukan kali terakhir aku akan ke luar negara demi Malaysia. Aku akan pergi sehingga aku dapat merasai kemenangan. Pada yang belum pernah merasa, cubalah. Auranya berbeza.

Other posts by