Football

Liga Super Asean mungkin bermula pada September 2017?

Bayangkan satu liga di mana pasukan seperti Selangor, Muangthong United, Persib Bandung dan mungkin DPMM FC dari Brunei beradu tenaga. Ya, satu kejohanan bolasepak pasukan-pasukan dari rantau Asean.

Nampaknya itu bakal terjadi tidak lama lagi. Menurut media dari Singapura, Today Online, selepas menangguhkan rancangan untuk beberapa bulan, penganjur Liga Super Asean (ASL) nampaknya mahu meneruskan rancangan dan melancarakan kejohanan bolasepak itu tahun depan.

Beberapa siri mesyuarat dipercayai telah mengambil tempat sejak beberapa bulan lalu bersama beberapa pemegang saham di mana rancangan tersebut kini memasuki fasa terakhir.

Menurut sumber terdekat, ASL mungkin akan berlangsung pada September 2017 dan berakhir pada April 2018.

Liga ini akan disertai pasukan dari rantau Asean di mana negara seperti Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Thailand, Vietnam dan Singapura akan turut serta. Hanya Australia (ya, Australia menyertai Persekutuan Bolasepak Asean) dan Timor Leste yang tidak termasuk dalam perbincangan ASL.

Menurut laporan berkenaa, Singapura dijangka membentuk semula LionsXII yang dibubarkan selepas keluar dari saingan Liga Super Malaysia pada November 2015 bagi menyertai ASL.

Projek tersebut yang diketuai bekas presiden Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) Zainudin Nordin telah membentangkan perancangan mereka kepada kelab bolasepak di Malaysia dan Thailand dan dijangka akan ke Filipina dan Indonesia pula untuk menarik minat mereka.

ASL yang dirancang sejak 2005 telah mengalami pelbagai masalah yang menyebabkan perancangan liga ini tertanggguh. Antaranya adalah sesetengah negara tidak mahu menghantar pasukan terkuat liga mereka kerana risau kualiti liga tempatan mereka akan terjejas.

Selain itu, kos yang tinggi untuk menghantar pasukan beraksi di ASL – dikatakan hampir 7 juta Dollar Singapura – juga menyukarkan negara seperti Timor Leste, Laos dan Kemboja untuk menyertai liga ini, kerana penaja masih tidak yakin dengan keupayaan kejohanan ini juga liga ini masih gagal mencari rakan penyiar.

Pemilik Johor Darul Takzim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim atau lebih dikenali sebagai TMJ dalam satu wawancara bersama The Straits Times pada bulan April menyatakan beliau masih tidak yakin dengan konsep ASL.

“Saya tidak setuju dengan ASL,” kata TMJ.

“Saya rasa kita (bolasepak Asia Tenggara) masih baru dan patut fokus bagaimana ia dilakukan di Eropah. Untuk sekarang Liga Juara-Juara Asia adalah sasaran tertinggi. ASL tidak menarik minat saya. ”

Namun perkara berbeza dikatakan Zainudin dalam satu sidang media Disember lalu di mana dia mengatakan “kesemua 12 ahli AFF telah menghantar surat menyokong ASL”.

“Ada banyak pandangan dan pendapat mengenai ASL, dan akan sentiasa ada yang menyokong dan menentang idea ini,” kata Zainudin.

“Tetapi ini rantau dengan 600 juta orang serta terdapat ramai bakat di luar sana, dan ramai dari mereka mahu pergi jauh.

“Tetapi kadangkala untuk melompat ke liga yang lebih besar terlalu jauh. Jadi kita perlu fikirkan bagaimana kita mampu membentuk dan mengisi jurang itu, dan saya rasa liga serantau adalah satu permulaan.”

Other posts by