Badminton

Tempat Chong Wei di Kejohanan Akhir Superseries mungkin terjejas

Tempat pemain No.1 dunia Lee Chong Wei dalam Kejohanan Akhir BWF Superseries Dunia mungkin terjejas.

Selepas menarik diri dari Terbuka China minggu ini, Lee Chong Wei turut menarik diri dari Kejohanan Terbuka Hong Kong (22-27 November) kerana demam.

“Chong Wei sedang demam dan tidak pulih sepenuhnya dari kecederaan hamstring (ketika beraksi di Terbuka Denmark),” kata jurulatih perseorangan negara Hendrawan kepada The Star.

“Dia telah menarik diri dari Terbuka Hong Kong…tidak wajar dia bertanding dalam keadaan tidak cergas sepenuhnya.

“Dia masih boleh layak ke pertandingan akhir Superseries, tetapi kita perlu tunggu dan lihat keputusan pemain lain.”

Lapan pemain terbaik selepas 12 siri kejohanan Superseries akan layak beraksi dalam pertandingan akhir di Dubai dan kini Chong Wei berada di kedudukan kelima Superseries dengan 43,510 mata.

Pemain Hong Kong Angus Ng Ka Long di tempat keenam (40,100 mata), diikuti Viktor Axelsen dari Denmark (39,120 mata) dan Marc Zwiebler dari Jerman (38,230).

Ketiga-tiga pemain ini mampu menjejaskan harapan Chong Wei jika mereka beraksi baik di China dan Hong Kong.

Pemain Taiwan Chou Tien-chen (No.9) dan Hsu Jen-hao (No.11) selain daripada Wong Wing Kin dari Hong Kong (No.10) juga boleh mengatasi Chong Wei.

Bekas juara remaja dunia Zulfadli Zulkiffli akan mengambil alih tempat Chong Wei di undian utama.

Pemain muda tersebut akan beraksi menentang pemain No.17 dunia Hu Yun dari Hong Kong dalam pusingan pertama pada hari Rabu.

Sementara itu, seorang lagi pemain perseorangan negara yang turut berada dalam undian utama adalah Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang akan turun menentang Lin Yu-hsien dari Taiwan.

Turut beraksi dalam kejohanan ini adalah Goh V Shem – Tan Wee Kiong, Koo Kien Keat – Tan Boon Heong (bergu lelaki), Vivian Hoo-Woon Khen Wei (bergu wanita) dan Chan Peng Soon – Goh Liu Ying (bergu campuran).

Other posts by