Badminton

Ee Wei harap masa depan lebih cerah selepas kejayaan di Kejohanan Remaja Dunia

Jika tahun lalu Goh Jin Wei mengharumkan nama Malaysia dengan membawa pulang gelaran juara acara perseorangan wanita di Kejohanan Remaja Dunia di Peru, tahun ini giliran bergu campuran negara pula.

Gandingan Toh Ee Wei dan Chen Tang Jie mencipta kejutan dengan membawa pulang pingat gangsa dalam Kejohanan Remaja Dunia di Bilbao, Sepanyol pada Sabtu lalu.

Pasangan muda ini mencipta kejutan apabila berjaya layak ke separuh akhir sebelum tewas kepada pilihan utama dari China He Jiting-Du Yue.

Apa yang menjadi kejutan adalah pasangan ini hanya sempat berlatih seminggu sebelum kejohanan bermula.

“Saya percaya kami boleh memberi tentangan lebih hebat kepada pasangan China jika kami sempat berlatih bersama lebih lama. Saya telah mendapat banyak pengalaman di sini. Saya mahu berterima kasih kepada Tang Jie kerana menjadi pasangan yang hebat,” kata Ee Wei.

Ee Wei yang bermain dalam acara bergu wanita dan campuran di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) kini akan menyerahkan keputusan kepada jurulatih Cheng Wen-hsing untuk menentukan masa depannya.

Seorang lagi wakil Malaysia Lee Zii Jia pula merasa kecewa kerana hanya berjaya merangkul pingat gangsa dalam acara perseorangan lelaki.

Dia tewas 19-21, 18-21 kepada pemain Indonesia Chico Wardoyo – pemain yang pernah ditewaskannya dengan mudah sebanyak dua kali sebelum ini.

“Saya merasa kecewa dengan persembahan saya. Tetapi saya perlu terima kegagalan ini,” kata pemain berusia 18 tahun itu.

“Ianya akan menjadi peringatan untuk sentiasa berkerja keras dan menjadi lebih baik.”

Other posts by