Pasangan Malaysia Teo Ee Yi-Ong Yew Sin mencipta kejutan apabila menang bergaya sekaligus menjulang kejuaraan Grand Prix emas pertama mereka di Jerman.
Gandingan Malaysia itu mengejutkan pilihan kelapan dan wakil tuan rumah Michael Fuchs-Johannes Schoettler 21-16, 21-18 dalam aksi final di Saarbucken pada hari Ahad.
Ee Yi-Yew Sin yang berada di kedudukan ke 45 dunia merupakan bergu lelaki Malaysia pertama yang menjulang kejuaraan Grand Prix emas itu sejak pertama kali dipertandingkan pada tahun 1988.
Chan Peng Soon-Goh Liu Ying merupakan wakil Malaysia pertama memenangi kejuaraan di kejohanan tersebut apabila bergelar juara dalam acara bergu campuran pada tahun 2011.
Jurulatih negara Jeremy Gan berbangga dengan pencapaian anak buahnya itu: “Ianya hari yang baik untuk bergu negara. Ee Yi-Yew Sin kekal konsisten sepanjang kejohanan dan tidak tunduk pada tekanan. Mereka menunjukkan keinginan untuk menang dan sangat bersemangat. Masa depan kita dalam acara bergu nampak baik.”
Yew Sin pula berkata dia sangat gembira dengan kejayaan tersebut.
“Saya gembira kerana berjaya merangkul gelaran GP emas pertama kami di sini. Ianya satu kenangan manis untuk kami.”
Other posts by Khairul Nizam