Football

Penyerang England menjadi mangsa rompakan ketika pulang dari latihan

Penyerang England Andy Carroll diugut dengan menggunakan pistol dalam satu cubaan rompakan ketika memandu pulang dari sesi latihan tengahari semalam.

Pemain berusia 27 tahun itu sedang memandu dari pusat latihan Rush Green West Ham di Romford, Essex ketika dia diugut oleh dua lelaki yang menaiki motorsikal.

Dua lelaki itu memberi petunjuk bahawa mereka memiliki pistol dan cuba untuk menghalang kereta Mercedes G-Wagon Carroll ketika dia cuba untuk melarikan diri.

Carroll memecut kembali ke padang latihan di mana petugas di kelab difahamkan menghubungi pihak polis sekitar 12.30pm (waktu UK).

Suspek dipercayai mengejar Carroll hingga ke padang latihan tetapi melarikan diri sebelum polis tiba.

Pihak Polis Met kini sedang menyiasat cubaan rompakan itu.

Jurucakap Scotland Yard berkata: “Polis dihubungi sekitar 12.45pm pada hari Rabu, 2 November, untuk melaporkan percubaan dua lelaki bermotorsikal merompak seorang pemandu kereta di Romford Road, Chigwell.

”Dua lelaki itu mengugut pemandu itu dan menakutkan dia menerusi petunjuk mereka memiliki pistol. Penunggang motorsikal itu cuba untuk menghalang kereta selepas pemandu itu cuba melarikan diri.

“Pemandu kereta itu- seorang lelaki berusia 20 an – berjaya melarikan diri dan menghubungi polis untuk meminta bantuan. Suspek melarikan diri sebelum ketibaan pihak polis.

”Pihak polis telah bercakap dengan pemandu kereta itu dan dakwaan cubaan merompak telah direkod. Pegawai dari Redbridge CID sedang melakukan siasatan.

“Tiada sebarang tangkapan dilakukan dalam peringkat awal ini.

Carroll dikatakan merasa ‘terkejut dan menggeletar’ ketika dia berlari ke pusat latihan dan meminta bantuan keselamatan.

Kenyataan dari kelab berkata: “West Ham United boleh mengesahkan satu insiden yang mensasarkan salah seorang dari pemain kami pada Rabu, 2 November. Perkara ini sekarang disiasat oleh pihak polis.”

Penyerang itu dilaporkan sedang dalam proses sembuh dari kecederaan lutut yang dialaminya ketika menentang Astra Giurgiu dalam aksi Liga Europa pada bulan Ogos.

Other posts by