Badminton

Malaysia sasar empat terbaik di Kejohanan Badminton Remaja Dunia

Malaysia mensasarkan tempat di separuh akhir acara berpasukan dalam Kejohanan Badminton Remaja Dunia yang akan berlangsung di Bilbao, Sepanyol.

Malaysia merupakan pasukan pilihan kelapan dan diketuai oleh juara remaja dunia Goh Jin Wei akan membuka kempen Kumpulan E1 menentang Zambia pada hari Rabu dan Mexico pada hari Khamis.

Jin Wei dan rakan sepasukannya dijangka tidak mempunyai masalah untuk mara ke pusingan kedua di mana mereka dijangka bertemu Republik Czech.

Malaysia juga seharusnya tiada masalah untuk mara ke suku akhir di mana mereka dijadual bertemu naib juara Asia, Korea Selatan, atau Indonesia.

Pengurus Pembangunan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Kwan Yoke Meng percaya pasukan negara mempunyai keupayaan untuk memperbaiki tempat kelima yang dicapai mereka tahun lalu.

“Undian memihak kita kerana kita tidak akan bertemu pilihan utama China sehingga perlawanan akhir,” kata Yoke Meng.

“Ianya mungkin Korea Selatan atau Indonesia di suku akhir dan Thailand di separuh akhir. Kita mempunyai peluang menentang pasukan seperti ini. Sasaran kita adalah untuk sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir.

”Kita mempunyai pasukan yang kuat dan saya rasa pemain akan berusaha keras.”

Acara berpasukan akan berlangsung pada 2-6 November sementara acara perseorangan akan berlangsung pada 8-13 November.

Malaysia merupakan juara acara berpasukan di Taiwan pada 2011 dan naib juara di Alor Setar pada tahun 2009.

Other posts by