Football

Andik mahu pecahkan rekod Bambang Pamungkas di final Piala Malaysia 2016

Pemain sayap Selangor Andik Vermansyah mempuyai dua misi menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia pada hari Ahad ini.

Kemenangan ke atas Kedah di Stadium Shah Alam pada hari Ahad ini dan ia bukan sahaja akan menjadikan dia pemain Indonesia pertama menjulang dua Piala Malaysia untuk Red Giants, tetapi juga akan mendapat sambutan meriah di negara asalnya.

“Ini perlawanan akhir kedua saya, dan saya mahu memecahkan rekod Bambang (Pamungkas),” katanya kepada ESPN FC dalam satu temuramah.

Bambang yang merupakan seorang lagi pemain dari Indonesia yang disayangi penyokong Red Giants, membantu Selangor untuk menjulang treble pada tahun 2005 bersama seorang lagi rakan senegaranya, Elie Aiboy.

Satu dekad kemudian, Andik pula membantu Selangor menamatkan kemarau piala mereka dan menjulang Piala Malaysia ke-33 mereka selepas menang ke atas Kedah 2-0 dalam aksi final tahun lalu.

“Persembahan saya menjadi perhatian di Indonesia, dan saya pasti ramai akan mengikut perlawanan akhir ini. Bukan sahaja itu, kami juga mempunyai ramai rakyat Indonesia di Selangor yang akan hadir dan menyokong saya dan pasukan,” kata Andik .

“Melihat mereka akan menjadi motivasi besar buat saya.”

Musim ini, Selangor melalui enam perlawanan tanpa sebarang kemenangan dengan ketiadaan Andik sebelum dia kembali membantu mereka mencatat kemenangan 3-0 ke atas Pahang dalam aksi peringkat kumpulan Piala Malaysia pada 9 Ogos.

Andik diberikan lilitan ketua pasukan selepas menunjukkan aksi cemerlang dan dia tidak berpaling lagi.

“Kami telah beraksi baik dalam Piala Malaysia, jadi kami layak memenanginya. Namun Kedah tidak boleh dipandang rendah, mereka mempunyai pemain yang baik, kedua-dua pemain tempatan dan asing. Kami perlu beraksi dengan baik untuk menang.”

Kemenangan dalam aksi final kedua berturut akan menjadi satu tonik kepada Andik untuk membantu negaranya mencuba untuk menjulang kejuaraan Piala AFF Suzuki pertama pada November ini.

“Ianya akan menjadi tahun yang sempurna jika saya berjaya memenangi kejuaraan bersama Selangor dan Indonesia. Tetapi tumpuan saya sekarang hanya pada perlawanan Ahad ini,” kata Andik.

 

Other posts by