Badminton

V Shem-Wee Kiong sasar kedudukan No.1 dunia

Segar dari kemenangan di Terbuka Denmark, bergu No.1 negara kini dalam misi seterusnya di Eropah.

Selepas menewaskan bergu Thailand Bodin Isara-Nipitphon Phuangpet 14-21, 22-20,21-19 di Terbuka Denmark untuk merangkul kejuaraan Superseries pertama dalam kerjaya mereka, kini bergu No.7 dunia itu mahu mengejar kedudukan No.1 dunia.

Dengan kemenangan mereka di Terbuka Denmark, V Shem-Wee Kiong dijangka naik ke kedudukan tiga terbaik dunia.

Jika mereka berjaya merangkul lagi satu kejuaraan di Terbuka Perancis minggu ini, mereka akan berjaya merebut kedudukan No.1 dunia selepas berjaya menduduki kedudukan No.1 dalam Superseries.

V Shem yakin mereka boleh menamatkan aksi mereka di Eropah dengan gemilang.

“Wee Kiong dan saya merasa gembira kerana akhirnya berjaya menang kejuaraan Superseries pertama kami di Denmark. Penantian kami sudah berakhir,” kata V Shem.

“Sasaran seterusnya adalah Terbuka Perancis dan kami tidak boleh membazir masa. Kami mempunyai peluang untuk berada di kedudukan No.1 dunia dan cabaran untuk kami adalah untuk kekal konsisten di Paris,” tambah pemain berusia 27 tahun itu.

Untuk V Shem-Wee Kiong, kemenangan di Terbuka Denmark itu merupakan permulaan. Mereka berharap dapat berjaya seperti pemain No.1 dunia Lee Chong Wei yang telah menang 44 kejuaraan Superseries.

“Kami mahu menjadi seperti Lee Chong Wei dan menang banyak kejuaraan Superseries. Kami tidak mahu berhenti dengan satu sahaja. Saya harap kemenangan di Terbuka Denmark merupakan yang pertama dari banyak lagi kejuaraan di masa depan.”

Di Terbuka Perancis, V Shem-Wee Kiong diletakkan sebagai pilihan keempat. Mereka akan menentang bergu bukan pilihan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark dalam pusingan pertama pada hari Rabu.

Berada di kumpulan yang sama dalam undian bersama bergu negara adalah pilihan kedua Mathias Boe-Carsten Mogensen dari Denmark, pilihan kelima Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dari Indonesia dan pilihan keenam Li Junhui-Liu Yuchen dari China.

Pilihan utama Chai Biao-Hong Wei dari China berada di kumpulan undian yang lain bersama bergu Thailand Bodin Isara-Nipitphon Phuangphuapet, rakan senegara Fu Haifeng-Xu Chen dan Angga Pratama-Ricky Karanda Suwardi dari Indonesia.

Satu lagi bergu negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin turut mengambil bahagian dalam kejohanan Superseries pertama mereka.

Dalam acara perseorangan lelaki, Chong Wei akan mengetuan cabaran bersama Iskandar Zulkarnain, Chong Wei Feng dan Zulfadli Zulkiffli.

Zulfadli dan Wei Feng akan bermain dalam pusingan kelayakan pada hari Selasa.

Selain mereka, turut berada dalam undian utama adalah Vivian Hoo-Woon Khe Wei (bergu wanita) dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (bergu campuran).

Other posts by