Pengarah teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen berazam untuk membawa Malaysia menjadi antara tiga negara kuasa besar badminton.
“ KPI saya adalah untuk membawa badminton Malaysia ke tiga terbaik pada 2020. Saya akan bertanggungjawab sepenuhnya jika saya tidak berjaya mencapainya,” katanya kepada Bernama.
Frost berkata pelan jangka masa panjangnya adalah menghasilkan dua pemain ranking 10 terbaik dunia dalam semua lima kategori pada 2020.
“Saya mahu semua kategori dalam perseorangan lelaki mempunyai dua pemain dalam 10 terbaik dunia. Sama juga dalam dalam empat kategori lain iaitu perseorangan wanita, bergu lelaki, wanita dan campuran,” katanya sebelum membuat penampilan dalam rancangan “Hello Malaysia” di Wisma Bernama semalam.
Frost berkata situasi semasa badminton Malaysia telah berubah berbanding kali pertama dia ke sini pada tahun 1997-2000.
Frost menambah bahawa dia sebenarnya yang memulakan pasukan badminton wanita Malaysia.
“Kalau kita lihat, belum sampai 20 tahun lagi tetapi saya rasa peningkatan badminton wanita di Malaysia dan pencapaiannya agak bagus.” Frost berkata kini semua sedang mencari Lee Chong Wei yang baru dan dia percaya itu satu kesalahan.
“Ada sebabnya Chong Wei menjadi seorang ikon. Dia memang menakjubkan dalam selama ini serta sebab itu kita memanggilnya ikon dan kita tidak boleh menggatikan seorang ikon dengan ikon yang lain. Ia semudah itu.
“Untuk menjadi pemain nombor satu dunia, semua pemain perlu mempunyai ‘DNA khas’ dan dia (Chong Wei) memilikinya, namun tak ramai pemain ada ini.” Frost sedang berusaha dan bersiap sedia untuk kitaran empat tahun nanti dan sasarannya adalah Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Other posts by Khairul Nizam