Hockey

Malaysia tekad bermain tanpa tekanan, sasar podium di Hoki Juara-Juara Asia

Malaysia akan bermain tanpa tekanan ketika beraksi di Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia edisi keempat yang akan bermula pada hari Khamis ini di Stadium Hoki Kuantan.

Dengan kelebihan selaku tuan rumah, skuad hoki kebangsaan seharusnya mensasarkan tempat di podium.

Pasukan lain yang turut serta dalam kejohanan ini adalah Pakistan, India, China, Jepun dan Korea Selatan.

Namun, ketika kebanyakan pasukan membawa pemain muda untuk memberikan pendedahan menjelang Piala Dunia Remaja, anak buah Stephen van Huizen perlu mensasarkan dua tempat terbaik selepas menamatkan saingan di tempat ketiga dalam tiga edisi terdahulu.

“Bagi saya, apa yang penting adalah pemain menunjukkan peningkatan dalam permainan mereka dan lebih konsisten. Kami ada beberapa pemain yang tercedera, tetapi saya tidak rasa ia akan mengganggu kami,” kata Stephen.

“Kami ada sasaran jangka masa panjang dan ianya adalah untuk layak ke Piala Dunia 2018 dan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

”Pemain perlu mendapat pemikiran juara dan memastikan mereka mengurangkan kesilapan.”

Stephen mengambil alih selaku jurulatih kebangsaan pada Oktober tahun lalu dan telah mengendalikan pasukan dalam tiga kejohanan – Jelajah Jepun tahun lalu, Piala Sultan Azlan Shah pada bulan Mei dan Liga Hoki Australi di Perth baru-baru ini.

Dia dijangka menggunakan aksi Trofi Juara-Juara Asia untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pemainnya dan membuat keputusan siapa yang akan menggalas tanggungjawab tahun hadapan.

Kehadiran Mohd Razie Rahim, Nabil Fiqri Mohd Noor dan Faizal Saari memberikannya lebih banyak pilihan terutamanya di bahagian serangan.

Malaysia akan memulakan aksi dengan menentang juara edisi 2012 dan 2013, Pakistan hari ini.

Other posts by