Badminton

Chong Wei hampir dikejutkan di Terbuka Denmark

Bintang badminton negara, Lee Chong Wei mara ke pusingan kedua Terbuka Denmark walaupun menerima saingan sengit di pusingan pertama.

Chong Wei, yang akan menyambut hari lahirnya yang ke-34 Jumaat ini, berjaya mengelak dari dikejutkan pemain Hong Kong Wei Nan apabila menang 16-21, 21-19, 21-11 dalam perlawanan sengit di Odense Sports Park semalam.

Wei Nan, yang berjaya menewaskan Chong Wei dalam pusingan kedua kejohanan ini tahun lalu, nampak bersedia untuk mara selepas mendahului Chong Wei 11-7 dalam set kedua.

Namun Chong Wei berjaya bangkit semula dan seterusnya menang set tersebut dan set penentuan untuk mara ke pusingan kedua.

“Saya tewas kepada Wei Nan di pusingan kedua tahun lalu dan saya terfikir saya akan tewas sekali lagi kepadanya…dia bermain baik, ” kata Chong Wei.

“Jurulatih saya (Hendrawan) memberitahu saya untuk terus bermain mengikut rentak saya ketika mata saya jauh dengannya di set kedua….saya terus berjuang dan akhirnya menang.

”Selain itu, saya selalu menyambut hari lahir saya di Denmark dan saya mahu menjadikannya istimewa tahun ini…ini mungkin Terbuka Denmark terakhir saya.”

Chong Wei akan berdepan H.S Prannoy dari India pada hari Khamis di pusingan kedua. Chong Wei menewaskan pemain India itu dalam saingan Terbuka India 2013 dalam straight games.

Dalam aksi bergu pula, Goh V Shem-Tan Wee Kiong mara ke pusingan kedua selepas menundukkan bergu China Liu Cheng- Zhang Nan 21-18, 18-21,21-18.

Di Sukan Olimpik Rio yang lalu, Zhang Nan dan pasangannya ketika itu Fu Haifeng menewaskan V Shem-Wee Kiong untuk memenangi pingat emas.

“Kami telah bersedia untuk bertemu mereka. Mereka bermain baik tetapi saya gembira kerana kami berjaya bangkit untuk menewaskan mereka,” kata Wee Kiong.

“Ini permulaan baik untuk kami, harapnya kami akan dapat kekalkan momentum.”

Mereka akan berdepan bergu England Marcu Ellis- Chris Langridge untuk menempah tempat ke suku akhir.

“Bergu England ini menang pingat gangsa di Sukan Olimpik dan kami tidak akan memandang rendah mereka,” tambah V Shem

Bergu veteran Malaysia yang kini bermain sebagai pemain bebas Koo Kien Keat- Tan Boon Heong gagal mara selepas tunduk kepada pasangan Indonesia Gideon Marcus Fernaldi – Kevin Sanjaya Sukamuljp 11-21, 18-21.

Other posts by