Football

FA Thai tamatkan liga awal ekoran kemangkatan Raja Thailand

Persatuan Bolasepak Thailand telah menamatkan semua perlawanan liga bagi tahun 2016, menjadikan Muangthong United yang berada di puncak liga bergelar juara bagi musim ini.

Keputusan tersebut dibuat ekoran kemangkatan Raja yang menjadi kesayangan rakyat Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej, yang mangkat selepas memerintah selama 70 tahun.

Kerajaan Thailand telah mengeluarkan perintah untuk menghentikan semua ‘aktiviti hiburan’ selama sebulan bagi menghormati kemangkatan baginda, dan FAT telah membuat keputusan untuk menamatkan Liga Thailand dan Liga Divisyen Satu termasuk dua kejohanan piala.

Presiden FAT Pol Gen Somyot Poompunmuang membuat pengumuman mengenai keputusan itu pada hari Jumaat, dan kedudukan liga ketika itu akan menjadi kedudukan terakhir musim ini.

Undian akan dilakukan bagi mencari pemenang untuk Piala Liga dan Piala FA.

Dengan 31 dari 36 perlawanan telah dilalui dalam Liga Thailand musim ini, Muangthong United kini bergelar juara, lima mata di depan Bangkok United.

Di tangga bawah liga, tiga pasukan yang tersingkir adalah Army United, Chainat dan BBCU.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran FAT Supasin Leelalrit berkata: Tiada perlawanan akan berlangsung untuk baki tahun ini.

“Untuk perlawanan akhir Piala Liga, undian akan dijalankan untuk mencari pemenang, sementara Piala FA, undian akan dijalankan untuk menentukan kedudukan empat pasukan. Tarikh untuk undian ini akan diumumkan kelak.”

Adirut Nakasai, naib presiden kelab yang diumum tersingkir,Chainat, telah menyuarakan ketidak puasan hatinya di media sosial ekoran keputusan yang dibuat FAT, dan mengugut untuk membubarkan kelabnya.

“Banyak lagi cara untuk mengendalikan perkara berkenaan pasukan yang tersingkir tahun ini,” tulis Nakasai.

“Mereka boleh menyingkir BBCU (yang sudah pasti tersingkir) dan Liga Thai boleh berlangsung dengan 20 pasukan bagi musim 2017.

”Mereka boleh kemudiannya menyingkir lima pasukan terbawah di penghujung musim depan, dengan jumlah pasukan dalam Liga Thai akan kembali ke 18 pasukan bagi musim 2018.

“Kami akan menghantar bantahan kepada FAT. Kami rasa ianya tidak adil untuk menyingkir kami ke Liga Divisyen Satu. Jika keputusan itu kekal, saya mungkin akan bubarkan pasukan.”

Other posts by