Selepas lima kali percubaan, pemain skuasy dari Kelantan Mohd Syafiq Kamal berjaya akhirnya merangkul kejuaraan Skuasy Jelajah Malaysia pusingan kelima di Perlis.
Syafiq yang tewas di empat final, akhirnya berjaya menundukkan pilihan kelima dan juara remaja dunia Ng Eain Yow 14-12, 4-11, 8-11, 11-14, 11-6 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Kompleks Sukan Kangar, Perlis pada hari Rabu.
“Saya rasa lega kerana akhirnya menang kejuaraa pertama saya dalam final kelima saya (tiga kali tahun lalu dan dua kali tahun ini),” kata Syafiq.
“Saya bermula baik dan menangset pertama, tapi Eain Yow bangkit semula untuk memberi tekanan dan menang dua set selepas itu.
”Saya berjaya tenangkan diri akhirnya dan bermain lebih baik untuk mengikat kedudukan 2-2.
“Dalam set penentuan saya rasa lebih yakin….saya gembira dapat menewaskan juara remaja dunia dua kali dalam masa seminggu.”
Syafiq turut menewaskan Eain Yow dalam aksi suku akhir pusingan keempat di Pulau Pinang minggu lalu.
“Memenangi kejuaraan menaikkan lagi keyakinan saya untuk beraksi dalam pusingan keenam di Kuantan (25-28 Oktober),” tambah Syafiq.
Dalam acara wanita, S. Sivasangari mara untuk merangkul kejuaraan kelima berturutnya.
Pemain pilihan kedua itu mengejutkan pilihan utama Vanessa Chu dari Hong Kong apabila bangkit semula selepas ketinggalan di set pertama dan menang 9-11, 11-4, 9-11, 11-4, 11-2.
Pemain berusia 17 tahun dari Kedah itu sedikit kecewa dengan aksinya di perlawanan tersebut.
“Saya sepatutnya menang mudah kerana saya mendahului 8-3 dan 8-4 di set pertama dan ketiga. Tetapi saya hilang fokus dan tewas dua set itu.
“Saya perlu belajar kekalkan tumpuan sepanjang permainan,” kata juara Bawah 19 tahun Asia itu.
Syafiq dan Sivasangari memenangi US$902 (RM3,783) untuk kemenangan mereka sementara Eain Yow dan Vanessa menerima US617 (RM2,588).
Other posts by Khairul Nizam