Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin tidak mahu kesemua empat pemenang pingat di Sukan Paralimpik Rio dibuai mimpi.
Dia telah mencabar mereka untuk terus memperbaiki rekod peribadi mereka selepas menghadiri majlis yang dianjurkan Naza Corporation Holding untuk memberi ganjaran kepada kesemua pemenang pingat pada hari Isnin.
Dalam majlis itu, syarikat tersebut memberi ganjaran kepada tiga pemenang pingat emas – Mohd Ridzuan Mohd Puzi, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly – sebuah unit suite di Trion 888, Equine Park bernilai RM350,000 setiap satu.
Mereka bertiga turut menerima sebuah kereta Kia Sportage bernilai RM 121, 888 setiap seorang. Pemenang pingat gangsa Paralimpik, Siti Noor Radiah Ismail pula menerima sebuah Kia Rio Sedan bernilai RM72,888.
“Sila uruskan kejayaan anda dan jangan biarkan ianya mengaburi mata anda. Ada banyak lagi kejohanan penting tidak lama lagi, termasuk Kejohanan Olahraga IPC Dunia di London (Julai) dan Sukan Para Asean di Kuala Lumpur (September) tahun depan. Saya mahu anda semua beraksi cemerlang dalam semua kejohanan ini.
“Ridzuan beraksi cemerlang dengan mencatatkan rekod paralimpik baru di Rio (12.07). Sekarang saya nak tengok dia membuat catatan di bawah 12 saat untuk kali pertama.
” Saya juga mahu melihat Ziyad membuat lontaran melebihi 17m (dia mencatakan jarak lontaran 16.84m di Rio) dan Abdul Latif memecahkan rekod kebangsaan lompat jauh atlit biasa.
“Abdul Latif melompat memecahkan rekod dunia 7.60m di Rio dan ianya hanya kurang 0.28m dari rekod kebangsaan atlit normal.
“Bahkan, saya mahu melihat dia mencuba nasib mendapatkan pingat emas Sukan SEA tahun depan jika dia bersedia,” kata Khairy.
Rekod kebangsaan acara lompat jauh atlet normal adalah 7.88m yang dicipta oleh Josbert Tinus pada tahun 2007.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif NAZA Corporation Holdings SM Nasarudin SM Nasimuddin berkata jumlah keseluruhan ganjaran yang diberikan kepada keempat-empat atlet itu berjumlah RM1.5 juta.
“Apa yang mereka lakukan memang luar biasa. Mereka juara dan layak dikenali dan diberikan ganjaran seperti ini.
”Saya rasa sangat gembira dan bangga dengan pencapaian ini kerana ianya pencapaian terbaik dalam sejarah sukan negara.
“Saya harap mereka akan dapat mengulanginya lagi di Sukan Paralimpik Tokyo 2020,” kata Nasarudin, yang mengambil alih jawatan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia Januari tahun ini.
Other posts by Khairul Nizam