Football

Kim Swee pilih pemain ke Piala AFF selepas perlawanan menentang Afghanistan

Ini peluang terakhir untuk pemain kebangsaan menarik perhatian jurulatih negara Datuk Ong Kim Swee.

Malaysia akan menentang Afghanistan di Stadium Shah Alam mala mini dan Kim Swee akan menilai kesemua 30 pemainnya. Dia akan memilih 22 pemain untuk menyertai skuad ke Piala AFF Suzuki yang akan berlangsung pada 19 November- 17 Disember nanti.

“Pemain perlu mula meningkatkan prestasi mereka. Saya akan memberi semua pemain peluang untuk menarik perhatian barisan kejurulatihan kerana esok adalah peluang terakhir mereka untuk sertai pasukan,” kata Kim Swee, menurut Harian Metro.

Jurulatih itu mahu melihat Malaysia memenangi perlawanan pertama mereka dari tiga perlawanan. Malaysia, di kedudukan ke-158 dunia hanya mampu seri 1-1 dengan Fiji dan kemudiannya tewas 3-0 kepada Indonesia. Minggu lalu, mereka terikat 0-0 dengan Singapura. Kemenangan terakhir Malaysia adalah ketika menang 2-1 ke atas New Caledonia di Noumea pada 22 Jun.

“Saya mahu melihat mereka bermain permainan menyerang yang lancar. Mereka perlu bermain dalam satu unit dan tidak bolos,” kata Kim Swee.

Dia turut mengingatkan anak buahnya untuk tidak memandang rendah pasukan Afghanistan yang berada di kedudukan ke-149 dunia.

“Saya melihat rakaman video perlawanan Afghanistan menentang Singapura dan Lebanon. Mereka mempunyai skuad yang seimbang dan kebanyakan pemain mereka berpengkalan di Eropah, bermain di divisyen tiga dan empat. Mereka akan menjadi lawan yang sukar,” kata Kim Swee.

Afghanistan menewaskan Singapura 2-1 Mac lalu, tetapi tewas 2-0 kepada Lebanon bulan lalu.

Jurulatih Afghanistan yang berasal dari Jerman, Petar Segrt memberi penghargaan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana menjemput mereka untuk perlawanan persahabatan.

“FAM telah memberikan kami layanan kelas pertama kepada kami di sini dan semua itu akan dilupakan sebentar ketika perlawanan,” kata jurulatih berusia 50 tahun itu.

Namun, Segrt tidak dapat menurunkan lapan pemain utamanya dalam perlawanan itu nanti.

“Ramai pemain di Eropah kami tidak dapat hadir kerana cedera, tetapi tiada apa yang perlu dirisaukan. Kami akan mencari jalan untuk perlawanan ini,” tambahnya.

Selepas Afghanistan, Malaysia akan bermain dalam satu lagi perlawanan persahabatan menentang Papua New Guinea pada 14 November dalam persiapan terakhir mereka sebelum ke Piala AFF Suzuki.

Other posts by