Badminton

Zulfadli muncul juara Terbuka Russia

Pemain badminton bebas Zulfadli Zulkifli berjaya merangkul kejuaraan kedua dalam kerjayanya selepas menewaskan pemain India Siril Verma 16-21, 21-19, 21-10 dalam perlawanan akhir perseorangan lelaki di Grand Prix Terbuka Russia yang berlangsung di Vladivostok.

Masih lagi segar dari merangkul kejuaraan di Grand Prix Brazil pada bulan lalu, pemain berusia 23 tahun itu berjaya merangkul kejuaraan kedua sebagai pemain senior dalam tempoh lima tahun.

“Saya selalu tertekan ketika perlawanan akhir dan ianya tidak ada beza hari ini. Saya membuat banyak kesalahan akibat terlampau gugup,” kata Zulfadli.

“Namun selepas itu saya berjaya tenangkan diri selepas mendahului 17-14 dalam set kedua. Semuanya menjadi untuk saya dan saya berjaya menguasai permainan selepas itu.

”Ianya sangat bagus untuk menang lagi dalam tempoh yang singkat. Saya harap saya akan berjaya lagi di masa hadapan,” ujar Zulfadli yang juga merupakan Juara Remaja Asia dan Dunia pada tahun 2011.

Dia menambah: “Saya memberikan lebih perhatian kepada latihan fizikal dan kepantasan saya dalam tempoh beberapa tahun ini. Ia membuahkan hasil dan ditunjukkan dalam perlawanan saya sekarang. Saya lebih bertenaga di atas gelanggang berbanding dulu. ”

Ketika ditanya jika dia hanya menumpukan perhatian pada Grand Prix yang bertaraf rendah, Zulfadli berkata: “Saya sedang mengatur kejohanan yang saya sertai. Seperti yang lain, saya bermain di Kejohanan Grand Prix. Tetapi saya juga pernah bermain di kejohanan Superseries. Saya hanya mahu meningkatkan keyakinan dan ranking dunia saya.”

Pemain No. 39 dunia itu akan beraksi dalam kejohanan Superseries berturut-turut iaitu Terbuk Denmark (18-23 Oktober) dan Terbuka Perancis (23-30 Oktober).

Selain daripada Lee Chong Wei, tiada pemain perseorangan dari BAM – Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Soo Teck Zhi, Soong Joo Ven, Cheam June Wei dan R. Satheishtharan – yang memenangi sebarang kejuaraan Grand Prix musim ini.

Other posts by