Football

Kim Swee tinggalkan lima pemain untuk perlawanan menentang Singapura

Tugas sukar buat jurulatih kebangsaan Datuk Ong Kim Swee apabila berdepan masalah kecederaan menjelang perlawanan persahabatan menentang Singapura di Stadium Nasional, Singapura Jumaat ini.

Kim Swee kehilangan tiga pemain akibat kecederaan iaitu Ronny Harun, Matthew Davies dan Mohd Nasir Basharuddin selain daripada terpaksa meninggalkan Khairul Fahmi Che Mat dan pemain pertahanan Ahmad Khuzaimi Piee daripada skuad yang akan berlepas ke Singapura.

Namun Kim Swee dengan pantas menolak bahawa kelima-lima pemain itu digugurkan dari skuadnya.

“Kesemua lima pemain itu masih dalam perancangan saya untuk perlawanan persahabatan seterusna – menentang Afghanista di Shah Alam minggu depan (11 Oktober).

“Mereka tidak digugurkan…cuma ditinggalkan di Wisma FAM sehingga pasukan pulang dari Singapura,” kata Kim Swee yang menjelaskan bahawa Khairul Fahmi ditinggalkan supaya dia boleh mencuba dua penjaga gol lain – Khairulazhan Khalid dari Selangor dan Hafizul Hakim Khairul dari Perak.

Dua perlawanan persahabatan itu – menentang Singapura dan Afghanista – adalah sebahagian daripada persiapan skuad negara menjelang Piala AFF Suzuki pada 19 November-17 Disember. Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama Myanmar, Vietnam dan pasukan dari pusingan kelayakan.

Setakat ini, Kim Swee berdepan tugas sukar apabila dia berdepan masalah kecederaan dan persaraan beberapa pemain untuk membentuk pasukan yang kali terakhir memenangi Piala AFF pada tahun 2010.

Bahagian pertahanan dilihat paling lemah apabila hanya dua pemain senior yang tinggal – Mohd Fadhli Shas dan Mohd Shahrom Kalam. Bahkan, Shahrom dilihat belum cergas sepenuhnya selepas berehat akibat kecederaan selama tiga bulan.

Bulan lepas, skuad kebangsaan tewas 3-0 kepada Indonesia dalam perlawanan persahabatan yang berlangsung di Stadium Manahan, Solo.

Other posts by