Squash

Min Jie berhenti dari mewakili negara untuk tumpu perhatian pada pelajaran

Teh Min Jie akan bersara dari skuad skuasy kebangsaan untuk menumpukan perhatian pada pelajaran.

Pemain berusia 20 tahun itu, yang berasal dari program Sekolah Sukan Bukit Jalil, telah bergelut untuk memberikan impak di Jelajah Persatuan Skuasy Profesional sejak bergelar pemain pro dua tahun lalu.

Min Jie, yang merupakan sebahagian dari pemain pasukan wanita yang memenangi Kejuaraan Berpasukan Asia buat kali kesembilan, tidak berjaya untuk merangkul sebarang kejuaraan PSA dan hanya berada di kedudukan ke-72 dunia.

Ini berbeza dengan pencapaian pemain berusia 17 tahun S. Sivasangari dan Andrea Lee, yang telah merangkul kejuaraan PSA tahun ini.

Sivasangari adalah yang paling menyerlah- memenangi tiga kejuaraan. Dia juga merupakan pemain No.4 negara dan No.62 dunia.

Jadi, tidak menjadi kejutan apabila Min Jie membuat keputusan untuk menumpukan perhatian pada pelajarannya. Dia akan berangkat ke Maine, Amerika Syarikat, untuk mengambil jurusan seni di Kolej Bates, tahun depan.

“Saya perlukan perubahan…gagal untuk merangkul sebarang kejuaraan di siri Jelajah merupakan salah satu punca kenapa saya membuat keputusan untuk menjauhi dari sukan ini,” kata Min Jie.

“Saya tetap akan berlatih…saya ada sembilan bulan lagi sebelum ke U.S. Saya juga ada beberapa kejohanan yang akan saya sertai.”

Min Jie akan menjadi pemain kedua untuk keluar dari SRAM. Pada bulan Ogos, pemain No.63 dunia dan pemenang pingat emas Sukan Remaja Asia 2013, Vanessa Raj juga berhenti selepas membuat keputusan untuk menyambung pembelajaran di Kolej Trinity di Connecticut, Amerika Syarikat.

Keputusan Min Jie untuk berhenti pastinya akan menjadi satu kerugian kepada Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM).

“Min Jie telah jujur dengan kami dan memberitahu jurulatihnya mengenai keputusannya, yang kami hormati,” kata Pengarah Kejurulatihan SRAM Mejar (bersara) S. Maniam.

“Dia seorang pemain yang berkerja keras dan kami akan merinduinya. Saya mendoakan kejayaannya dan berharap dia akan terus bermain skuasy.”

Untuk sekarang, Min Jie akan beraksi di Jelajah Sirkit Skuasy Malaysia No.4 di Pulau Pinang, di mana dia merupakan pemain pilihan ketiga.

Dia akan bertemu rakan sepasukan Noor Shadira Othman di pusingan pertama pada hari Rabu dan pemenang akan bertemu pilihan kelima Aika Azman di suku akhir.

Other posts by