Athletics

Jega mahu pemenang pingat Paralimpik tidak dibuai mimpi

Terima semua pujian dan penghargaan. Bersyukur dan nikmati ganjaran yang diberi – tapi sentiasa berpijak di dunia yang nyata.

Itu nasihat ketua jurulatih olahraga R.Jeganathan kepada empat pemenang pingat di Sukan Paralimpik Rio.

Nasihat ini tepat pada masanya apabila keempat-empat atlet – pemenang pingat emas Mohd Ridzuan Mohd Puzi, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly serta pemenang pingat gangsa Siti Noor Radiah Ismail – akan menerima cek mereka di bawah skim insentif Majlis Sukan Negara di Hotel St. Regis Kuala Lumpur pada hari Ahad ini. Pemenang pingat Olimpik Rio juga akan menerima insentif mereka dalam acara yang sama.

Ridzuan Puzi, Ziyad dan Latif akan masing-masing menerima cek bernilai RM1 juta kerana memenangi pingat emas.

Ziyad dan Latif juga akan menerima tambahan RM20,000 setiap seorang kerana memecahkan rekod dunia ketika merangkul pingat emas acara lontar peluru F20 dan lompat jauh T20 di Sukan Paralimpik Rio bulan lalu.

Siti Noor Radiah akan menerima RM200,000 kerana memenangi pingat gangsa dan memecahkan rekod Asia dalam acara lompat jauh T20.

Selepas itu, mereka perlu bersedia kerana Jeganathan mahu mereka kembali berlatih hujung bulan ini.

“Mereka telah diberi masa yang cukup untuk berehat dan menghabiskan masa bersama keluarga…juga menghadiri banyak majlis.

”Mereka bagaikan selebriti sekarang….orang mengenali mereka ke mana saja mereka pergi.

“Kami hargai sokongan yang diberi kepada mereka, tetapi saya harap mereka akan kembali fokus bila kembali berlatih.

”Sangat penting untuk mereka ingat bahawa jangkaan akan menjadi lebih tinggi selepas ini dan mereka perlu berkerja keras untuk meningkatkan prestasi dan tahap mereka,” kata Jeganathan yang melatih Ridzuan, pelari pecut yang merangkul pingat emas 100m T36 untuk menjadi pemenang pingat emas pertama Malaysia di Paralimpik Rio.

Jurulatih itu telah meletakkan dua sasaran kepada Ridzuan – mempertahan pingat emasnya di Kejohanan Olahraga Dunia IPC di London Julai depan dan Sukan Para Asean di Kuala Lumpur.

“Ridzuan akan beraksi dalam banyak kejohanan bermula awal tahun depan. Ianya termasuk Sukan Para Asia Barat di Emiriah Arab Bersatu pada bulan Februari serta IPC Grand Prix di Itali dan China pada bulan April,” kata Jeganathan.

“Kita memenangi dua pingat emas dan tiga pingat gangsa di Kejohanan IPC Dunia di Doha tahun lalu, sebab itu kami berharap akan kembali dengan keputusan lebih bagus.”

Other posts by