Apa persamaan antara pemain bolasepak Malaysia dan Inggeris? Bukan pada skil, bukan pada teknik, bukan pada pencapaian, gaya penampilan mungkin ada sedikit, tetapi yang paling ketara adalah pemain dari kedua-dua negara ini tidak mempunyai keberanian untuk berkelana ke luar negara.
Mungkin kedengaran agak lucu, tapi itulah hakikatnya. Seperti disebut oleh Bill Croft dalam ruangannya ‘The Game Abroad’ dalam majalah Football Monthly keluaran November 1958:
“Saya bertanya kepada seorang wartawan Sepanyol jika ada kelab besar yang berminat dengan pemain dari Britain.”
“Saya rasa tak ada,” katanya. “Anda mempunyai pemain yang bersemangat, tapi kami mahukan pemain berseni, di mana kamu hanya ada sebilangan kecil sahaja. Juga jarang pemain dari Britain yang akan gembira di luar negara.”
Seperti biasa kita dengar kan? Sama seperti pemain Malaysia yang dikatakan sukar untuk menyesuaikan diri di negara luar dan rindu nasi lemak, rupanya perkara ini berlaku juga pada pemain di Britain.
Pemain seperti Joey Barton, Jermaine Pennant, Ashley Cole, Micah Richards, Ravel Morrison, Joe Cole antara pemain Britain yang berani ke luar negara pada masa kini. Dulu, pemain seperti David Beckham, Michael Owen, Kevin Keegan, Jonathan Woodgate antara yang berani berkelana.
Apa agaknya punca pemain dari Britain sukar berkelana ke luar negara?
Pada tahun 2014, satu gambar tersebar di media sosial dan internet di mana skuad AS Roma mengambil gambar pasukan. Ketika semua pemain sedang bergembira dan tersenyum, seorang pemain dilihat berdiri agak jauh dari rakan sepasukannya. Pemain itu adalah Ashley Cole, yang baru menyertai pasukan Itali itu beberapa minggu sebelum itu. Cuba mencari angin baru setelah sekian lama beraksi di Liga Perdana Inggeris, pemain pertahanan kiri England itu dilihat seakan kekok dan sukar menyesuaikan diri dengan rakan sepasukannya. Kini beliau beraksi di Los Angeles bersama rakan senegaranya Steven Gerrard.
Biarlah apa yang orang akan katakan, mereka perlu memuji tindakan berani Ashley Cole yang berani mencuba sesuatu yang baru setelah beraksi sekian lama di EPL bersama Chelsea dan Arsenal sebelum itu. Dia boleh memilih untuk bersara atau bermain di negara-negara Arab, China, USA atau Australia selepas beraksi di EPL untuk mendapat gaji tinggi, tapi dia tetap mahu mencuba beraksi di liga tertinggi Eropah.
Namun, kelab seperti Real Madrid antara kelab yang berani menarik pemain Britain untuk beraksi bersama mereka. Steve Mcmanaman, David Beckham, Jonathan Woodgate, Michael Owen dan terkini Gareth Bale antara pemain yang menyarung jersi putih skuad Galacticos ini. Namun, selain Real Madrid, tidak banyak kelab di Eropah yang menjadi pilihan pemain-pemain dari Britain ini. Agak sukar untuk kelab seperti Villareal, Parma atau Hoffenheim untuk menarik pemain Britain ke sana.
Pemain seperti Mcmanaman yang digelar El-Macca di Sepanyol, menyatakan betapa dia mudah menyesuaikan diri di Madrid sekaligus membantunya menyesuaikan diri dalam kerjayanya di sana di mana dia berjaya merangkul lapan kejuaraan termasuk dua Liga Juara-Juara. Cara Macca menyesuaikan diri di negara asing perlu dicontohi oleh pemain muda Inggeris.
Tapi kisah berbeza pula dengan Michael Owen. Bekas pemain Liverpool ini menyatakan betapa dia bergelut ketika di Real Madrid. Dia menyatakan hidupnya di sana banyak dihabiskan di hotelnya. Bahkan dia turut berkata, apabila dia keluar bermain golf bersama rakan sepasukannya, dia akan merasa bersalah kerana isteri dan anak-anaknya tidak dapat melakukan apa-apa dan hanya terkurung di hotel. Owen berkata kekurangan sokongan di sana menyebabkan mereka sukar menyesuaikan diri dan hanya selepas semusim, isterinya sudah mahu pulang ke England dan Owen merindui saingan Liga Perdana Inggeris. Namun, bagi Owen itu tetap pengalaman paling berharga untuknya.
Mungkinkah pemain yang berkeluarga lebih sukar menyesuaikan diri di negara luar berbanding yang bujang? Mungkin pemain yang bujang lebih mudah menyesuaikan diri kerana kurang tanggungan dan tanggungjawab? Itu antara perkara yang mungkin menjadi punca. Namun ia mungkin tidak 100% tepat. Pemain Malaysia, ramai juga yang bujang dan berkelana ke luar, tetapi tetap merindui keluarga dan akhirnya pulang.
Atau mungkin, sikap patriotic pemain itu sendiri menghalang mereka? Pemain dan peminat di England telah ditanam dalam fikiran mereka bahawa Liga Perdana Inggeris adalah liga terbaik di dunia. Oleh sebab itu, mereka tidak mahu berkelana ke luar (kecuali ke kelab besar) kerana merasakan mereka akan jatuh standard dan bermain di liga yang lebih lemah.
Tom Ince antara contoh tersebut. Mendapat tawaran untuk bermain di Inter Milan, dia menolak tawaran tersebut dan bermain untuk Hull City di bawah kendalian Steve Bruce ketika itu. Dia menggunakan alasan yang wajar apabila menyatakan dia tidak kisah status atau taraf kelab berkenaan demi mendapat peluang bermain dalam kesebelasan utama, tetapi apabila dia dipinjamkan ke Nottingham Forest hanya beberapa minggu sebelum musim bermula, ianya tidak lagi relevan. Kini Ince bermain dengan Derby County dan mendapat peluang bermain kesebelasan utama, tetapi kita tetap akan terfikir, apa agaknya akan berlaku jika dia tidak menolak tawaran Inter Milan. Mungkin dia akan dapat merealisasikan potensinya.
Mungkin juga penjelasan kekurangan pemain England di Eropah boleh dijelaskan menerusi ketakutan mereka untuk mempelajari bahasa asing. Anak-anak muda di England sudah dididik dari kecil, di mana mereka jarang mempelajari bahasa asing, mungkin dengan pemikiran bahawa Bahasa Inggeris merupakan bahasa yang digunakan di seluruh dunia mendorong mereka mempunyai rasa ego dan malas belajar bahasa lain. Disebabkan tidak mahu memalukan diri belajar bahasa lain, pemain Inggeris mengambil keputusan untuk kekal di England dan bermain di liga lebih rendah berbanding mencuba nasib di negara lain. Mereka lebih rela bermain di kelab seperti Northampton berbanding mencuba beraksi bersama Freiburg.
Ianya berbeza dengan pemain dari Amerika Selatan yang berani mencuba dan berkelana ke segenap pelusuk dunia untuk mencuba nasib. Mereka berani belajar bahasa baru untuk memudahkan mereka berkomunikasi dengan pemain tempatan. Walaupun ada yang tidak mampu berbahasa dengan fasih, mereka tetap berusaha untuk belajar. Lihat saja bagaimana pemain seperti Gustavo Lopez yang mampu berbahasa Malaysia/Indonesia apabila beraksi bersama Terengganu dan di Liga Indonesia sebelum itu.
Jadi, apa sebenarnya masalah pemain Inggeris ini? Bahasa? Cuaca? Kualiti bolasepak? Gaji? Atau rindukan fish and chips seperti pemain Malaysia rindukan nasi lemak? Sesuatu yang pelik apabila suatu ketika dulu, nenek moyang mereka mampu mengembara ke seluruh dunia demi mengembangkan pengaruh mereka tetapi bangsa mereka sendiri kini takut untuk mencuba sesuatu yang baru. Kini bagi mereka, bermain di liga lain sama sahaja seperti bermain di liga bawahan England di mana ia hanya untuk pemain di hujung kerjaya mereka.
Pasti menarik jika kita dapat melihat pemain seperti Chris Smalling beraksi untuk Bayern, atau Theo Walcott untuk Atletico Madrid, atau Ryan Shawcross untuk pasukan seperti St Pauli. Malangnya, kita hidup di zaman liga Inggeris sedang memiliki kekayaan yang melimpah ruah, dengan perjanjian tv dan penajaan besar untuk semua kelab termasuk kelab di kelompok bawah Liga Perdana Inggeris. Jumlah perbelanjaan pasukan seperti Bournemouth, Middlesbrough dan Hull mungkin lebih tinggi daripada pasukan seperti Bayer Leverkusen, Sevilla mahupun AC Milan. Dan ia sering diwar-warkan sebagai liga terbaik dunia. Selagi ini semua ada, kita hanya mampu bermimpi melihat pemain Inggeris yang berada di kemuncak prestasi berkelana ke tanah besar Eropah.
Other posts by Khairul Nizam