Aksi hebat dipamerkan di hari terakhir menyaksikan pemain muda negara Rafiq Ismail membuat kejutan untuk merangkul pingat emas acara Masters lelaki di Kejohanan Boling Tenpin Asia di Hong Kong.
Anak muda berusia 19 tahun itu, yang berada di kedudukan ke-10 di blok pertama dari lapan pusingan pada hari Selasa, bangkit dengan bergaya untuk menamatkan perlawanan di tangga kedua dengan jumlah 3,681 untuk mara ke playoff tiga pemain.
Dan dia menjadi pemain Malaysia kedua – selepas Adrian Ang pada thaun 2008 – menang di kejohanan tersebut menewaskan pemain pilihan utama Michael Mak dari Hong Kong 197-159 dan 214-203 di pusingan akhir yang berlangsung di Pusat Bowling SCAA pada hari Rabu.
Di Separuh akhir, Rafiq menewaskan pemain Jepun Shogo Wada 203-198.
Kejayaan Rafiq merupakan kejayaan kali ketiga Malaysia di kejohanan ini. Dua lagi emas dimenangi oleh Timmy Tan dalam acara perseorangan lelaki dan Sin Li Jane-Esther Cheah dalam acara berpasangan wanita.
“Ianya satu penamat yang manis, selepas saya bergelut di awal kejohanan,” kata Rafiq, yang hanya merangkul dua gangsa – dalam acara berpasangan dan berpasukan- sebelum kejayaannya.
“Saya perlu berterima kasih kepada jurulatih saya, Holloway (Cheah, ketua jurulatih) kerana memberi nasihat dalam perlawanan step-ladder. Dia memberitahu saya untuk menukar bola dan ianya menjadi.
”Saya gembira kerana berjaya di pusingan akhir. Ianya sukar untik menentang pesaing di tempat mereka sendiri.
”Menang emas ATBC pertama saya adalah sesuatu yang saya tidak akan lupakan,” tambah Rafiq, yang menang dua pingat perak dalam penampilan pertamanya di Bangkok tahun lalu.
Syafiq Ridhwan Abdul Malek dan Timmy Tan merupakan dua lagi wakil Malaysia di pusingan akhir yang melibatkan 16 pemain. Syafiq berada di tangga keenam dengan jumlah 3,551 dan Timmy di tangga ke-13 dengan jumlah 3,258.
Other posts by Khairul Nizam