Others

Perlis sanggup berkongsi kepakaran melatih atlet kelainan upaya – Menteri Besar

Perlis sanggup dan berbesar hati jika diberi peluang untuk berkongsi kepakaran dan kemudahan pusat latihan unutk atlit kelainan upaya remaja dari seluruh negara.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata Perlis akan mempunyai sekolah sukan yang dilengkapi pelbagai kemudahan tidak lama lagi, dan kerajaan negeri lebih bersedia untuk melahirkan lebih ramai lagi atlit berkelas dunia.

“Sekolah sukan masih di dalam pembinaan, oleh itu kami harap kerajaan pusat dan Kementerian Belia dan Sukan akan menimbangkan perkara ini dengan serius.

“Mungkin kami boleh menyediakan latihan khas untuk atlit kelainan upaya kerana lokasinya di atas bukit dan menghadap tasik dapat membantu prose’s latihan atlit kelainan upaya,” kata beliau kepada wartawan.

Azlan turut berkata bahawa 11 atlit kelainan upaya dari Perlis akan menyertai latihan intensif di Pusat Kecemerlangan Atlit Paralimpik Malaysia di Kuala Lumpur bagi persiapan untuk Sukan Para Asean Kuala Lumpur yang akan berlangsung pada 17-23 September tahun depan.

Menteri Besar itu berkata semua atlit tersebut merupakan pemenang pingat emas di Sukan Para Malaysia ke-18 yang berlangsung di Sarawak, Ogos lalu.

“Walaupun negeri ini kecil, tetapi Perlis telah terbukti bahawa rakyatnya bersemangat tinggi dan mampu untuk melahirkan atlit Paralimpik yang berkualiti yang telah layak menjalani latihan intensif untuk Sukan Para Asean.

”Saya harap mereka akan berpeluang untuk lebih berjaya seperti yang dicapai oleh dua wira Perlis, Mohamad Ridzuan Puzi dan Abdul Latif Romly,” tambah beliau.

Other posts by