Others

Jurulatih wira Paralimpik turut terima insentif

Para jurulatih yang membantu melatih atlit yang merangkul pingat di Olimpik dan Paralimpik Rio akan menerima 30 peratus dari insentif yang akan diberikan kepada pemenang pingat.

Mengumumkan perkara ini, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata bahawa penambahan 10 peratus dari 20 peratus yang asal di bawah Skim Insentif Atlit (SHAKAM) adalah sebagai penghargaan kepada sumbangan para jurulatih dalam membimbing atlit-atlit.

“Sebagai contoh, seorang pemenangi pingat emas mendapat insentif sebanyak RM1 juta, jurulatihnya akan mendapat RM300,000,” kata beliau kepada wartawan selepas majlis menyambut ketibaan wira Paralimpik di Kompleks Bunga Raya semalam.

Khairy berkata pemberian SHAKAM kepada atlit dan jurulatih akan diadakan pada 9 Oktober dan dihadiri oleh Perdana Menteri di sebuah hotel di ibu kota.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kementerian akan menilai prestasi atlit di bawah program podium untuk Sukan Olimpik dan Paralimpik dan tidak menolak untuk menambah atlit di bawah program itu.

Khairy berkata, kementeriannya akan membincangkan perkara ini dengan Majlis Sukan Negara dan Majlis Paralimpik Negara mengenai cadangan untuk melantik seorang pengarah teknikal untuk memantau program latihan sedia ada untuk sukan paralimpik negara.

Sementara itu, dia menyeru syarikat tempatan untuk mengambil atlit biasa atau paralimpik sebagai duta kerana mereka boleh menaikkan nama syarikat mereka.

“Jika syarikat swasta boleh berbelanja berjuta ringgit untuk melantik atlit luar sebagai duta, apa salahnya dengan mengambil atlit tempata seperti pemenang pingat emas (paralimpik) sebagai duta produk mereka?

”Nama-nama seperti Mohamad Ridzuan Puzi, Muhammad Ziyad Zolkefli, Abdul Latif Romly dan Siti Radhiah Ismail, dikenali dengan kejayaan mereka di Paralimpik Rio…mereka mempunyai nama untuk menaikkan jualan produk,” kata Khairy.

Dalam perkembangan lain, Khairy mensasarkan kontinjen Paralimpik negara untuk berada di tangga kedua di belakang Thailand pada Sukan Para Asean 2017 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur kerana negara jiran itu dianggap kuasa besar Paralimpik di peringkat Asean.

“Kita ada saingan sengit di Sukan Para Asean. Thailand berada di depan dengan atlit paralimpik mereka, jadi secara realistic, saya sasarkan kita berada di tangga kedua keseluruhan dan kami akan membuat persiapan terbaik,” katanya sambil menambah bahawa kementerian akan mencari bakat baru di kalangan orang kelainan upaya.

Other posts by