Badminton

Chong Wei dan rakan-rakan mara di Terbuka Jepun

Pemain No.1 dunia Lee Chong Wei mengetuai kemaraan dengan semua pemenang pingat Olimpik Malaysia kembali beraksi di Kejohanan Terbuka Jepun dengan kemenangan.

Chong Wei, pemenang pingat perak di Sukan Olimpik Rio bulan lalu, menunjukkan aksi bertenaga dengan menewaskan pemain Thailand Boonsak Ponsana 21-14, 21-13 dalam acara perseorangan lelaki di Tokyo pada hari rabu.

Chong Wei akan bertemu pemain muda China Qiao Bin untuk merebut tempat ke suku akhir.

Seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin gagal mara apabila tewas kepada pemain India H.S Prannoy 23-21, 19-21, 21-18.

Dua lagi pemenang pingat perak di Sukan Olimpik lalu, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying – turut bermula garang.

Bergu No.9 dunia, Wee Kiong-V. Shem mudah menewaskan gandingan Thailand, Bodin Issara-Nipitphon Puangpuapech 21-12, 21-7 dalam masa 23 minit dan akan bertemu gandingan bidan terjun China Huang Kaixiang-Wang Yilyu.

Peng Soon-Liu Ying, yang memenangi Terbuka Jepun 2012 untuk satu-satunya kejayaan Superseries mereka juga mudah menewaskan bergu England Matthew Nottingham-Emily Westwood 21-13, 21-15.

“Lega rasanya dapat beraksi selepas Rio,” kata Liu Ying.

“Kami tidak berada dalam keadaan terbaik. Masih banyak tugas yang perlu kami lakukan dan harapnya, kami akan bertambah baik sepanjang kejohanan,” tambahnya.

Dalam pusingan kedua, Peng Soon-Liu Ying akan bertemu bergu No.16 dunia dari Belanda Jacco Arends-Selena Piek.

Bergu wanita negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei turut mara apabila menewaskan bergu Jepun Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara 21-19, 21-12.

Mereka akan bertemu satu lagi bergu Jepun Miyuki Kato-Miki Kashihara untuk merebut tempat lapan terbaik.

Other posts by